Rencah Hidup

Insaf selepas dipenjara di Thailand akibat dadah

Gelap mata untuk membuat “duit segera” membuatkan Mat (bukan nama sebenar) sanggup menggadaikan kerjayanya sebagai anggota pasukan keselamatan untuk mengedar dadah.

Sewaktu bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, dia melakukan kegiataan keji itu di kawasan utara tanah air, di sekitar pekan Danok

Menurut Mat yang kini berusia 30an, episod hitam dalam hidupnya itu bermula pada 2007 ketika ditugaskan untuk mengawal sempadan di utara tanah air. Ketika itulah dia menemui cara untuk membuat “duit segera’” dengan menjual dadah jenis syabu yang mendapat permintaan tinggi dari negara jiran.

Ketika melakukan rondaan di sempadan, dia mula berjinak-jinak dengan syabu ketika melakukan rondaan di sempadan kerana ia mudah diperolehi. Kegiatan itu juga tidak perlu mengeluarkan wang untuk membelinya kerana ia dibekalkan oleh tokan dadah yang menyeludup barangan terlarang itu di kedua-dua negara.

Di Thailand, katanya, harga syabu boleh mencecah sehingga RM600 bagi 1 gram.

 

HUKUMAN PENJARA

Mat yang juga ketika itu mengambil najis dadah berkata hampir tujuh tahun beliau menjual dadah secara kecil-kecilan di pusat hiburan di pekan Danok sebelum ditangkap Polis Diraja Thailand pada April, 2013.

Fasih berbahasa Siam, Mat berkata beliau kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun 12 bulan dan denda 200,000 baht (ketika itu kira-kira RM20,000) menurut undang-undang Thailand.

Namun beliau bersyukur kerana mendapat pengampunan diraja sehingga hukumannya dipendekkan kepada dua tahun enam bulan dua hari.

Ketika ditangkap dan dipenjarakan di Penjara Natthawi, wilayah Songkhla pada 2013, dia mempunyai seorang isteri yang berasal dari Chiang Mai yang dikahwini pada 2005 dan seorang anak perempuan yang ketika itu berusia lima tahun.

“Sepanjang tempoh 72 hari merengkok di dalam penjara sementara menunggu perbicaraan di mahkamah, saya rasa dunia saya begitu gelap. Banyak perkara yang saya fikirkan kerana pertama kali duduk dalam penjara,” katanya kepada Bernama.

Mat berkata hidupnya mula berubah pada suatu hari Jumaat ketika sedang melakukan kerja menjahit pukat di dalam penjara.

 

MULA BERHIJRAH 

“Saya terdengar bisikan yang menyuruh saya untuk solat Jumaat dan sejak itu, saya mula berhijrah untuk menjadi lebih baik. Alhamdulillah Penjara Natthawi menyediakan sel khusus untuk orang Islam untuk melakukan ibadat tanpa gangguan.

“Selepas mendapat hidayah ketika berada dalam penjara, saya berpuasa selama lapan bulan bagi menggantikan puasa yang pernah ditinggalkan,” katanya.

Mat juga bersyukur sepanjang dipenjarakan, isteri dan ahli keluarganya dari Kelantan datang melawatnya beberapa kali walaupun tidak dapat bertemu anak perempuannya kerana beliau sendiri yang tidak membenarkan isterinya membawa anaknya datang ke penjara.

“Sepanjang dipenjarakan juga, saya juga menerima kunjungan daripada pegawai tatatertib daripada pasukan yang menyerahkan surat tunjuk sebab serta surat pemberhentian kerja dan saya bersyukur kerana dalam rekod perkhidmatan, saya dibuang kerja kerana menghadapi 13 pertuduhan tidak datang kerja.

“Ia membolehkan saya mencari kerja sebagai pengawal keselamatan selepas dibebaskan pada November 2015 lalu,” katanya.

 

HAMBATAN NAFSU

Ditanya sebab yang menyebabkan beliau sanggup menyalahgunakan kuasa sehingga menjadi pengedar dadah walaupun bergelar anggota pasukan keselamatan, Mat berkata ia berikutan hambatan nafsu yang mahu menampung gaya hidup mewah.

“Ketika sedang menjalankan operasi, saya juga pernah melepaskan beberapa penyeludup dan meminta sejumlah wang bagi melepaskan mereka daripada ditahan kerana aktiviti rentas sempadan itu.

“Selain menghisap dadah, saya juga bermain judi sehingga menyebabkan wang gaji tidak mencukupi. Jadi untuk menampung kehidupan, saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar mengelakkan diri daripada terjebak dengan sebarang gejala tidak sihat kerana ia hanya membawa keburukan kepada diri.

“Jadikan diri saya sebagai contoh. Sudah elok bertugas sebagai anggota pasukan keselamatan dengan beberapa keistimewaan sebagai penjawat awam namun gara-gara tidak dapat menahan keinginan, hidup saya punah. Masa tak dapat diputarkan kembali dan saya hanya mampu reda dengan ketentuanNya,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

(Visited 914 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button