Belang Bertempat

UMNO dan politik lapuknya

UNTUK makluman para pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Sarawak yang setiap penggal mengadakan pilihan raya negeri berasingan parti-parti bertanding tidak pernah mengumumkan bakal ketua menteri mereka.

Perkara itu akan diputuskan oleh parti yang paling banyak memenangi kerusi iaitu PBB. Lihat sikap UMNO ketika pilihan raya negeri Sabah apabila mereka terlebih awal mengumumkan calon ketua menteri ialah Bung Moktar Radin. Apa jadi? Akhirnya mereka menang kerusi yang sedikit berbanding Bersatu menyebabkan Datuk Seri Hajiji Noor yang dilantik sebagai ketua menteri, kerana mereka menang lebih banyak kerusi.

Lantas para pemimpin UMNO mula menyalahkan Bersatu dan melempar pelbagai pertuduhan terhadap parti sekutu sendiri yang kononnya telah mensabotaj calon UMNO dengan meletakkan calon Bebas di kawasan parti itu bertanding.

Sedang itu berlaku kerana penyandang kerusi tidak dipilih sebagai calon, sedangkan dia adalah calon kegemaran penduduk setempat dan menyebabkan individu berkenaan bertanding di atas tiket Bebas dan menang.

Selepas itu UMNO menuduh Bersatu melakukan sabotaj sekali lagi apabila mereka melantik Hajiji sebagai ketua menteri, sedangkan perkara itu berlaku kerana mengikut persetujuan parti mana yang menang lebih banyak kerusi, mereka berhak memilik calon ketua menteri.

UMNO terus ‘play victim’ kononnya mereka dipermainkan dan disabotaj, sedangkan UMNO pada ketika itu untuk berkempen semasa pilihan raya negeri Sabah tidak mempunyai cukup wang dan terpaksa meminta bantuan daripada parti Bersatu.

Kini merasakan dirinya gagah kembali selepas kena pukulan maut pada pilihan raya lalu, mula meninggalkan rakan seperti Pas dan Bersatu yang menghulurkan tangan membantu parti itu yang tenat serta nyaris masuk ke alam barzah.

Mungkin ahli UMNO yang fanatik tidak gemar membaca dan mengetahui hakikat ini. Tetapi itulah realiti yang harus diketahui.

Selepas menang besar di Melaka, sehingga pemimpin UMNO sendiri terkejut mereka meneruskan usaha kembali berada di puncak kuasa dengan membubarkan dewan undangan negeri Johor dan kini memaksa rakyat negeri berkenaan menghadapi pilihan raya dalam keadaan kes Covid-19 kembali rancak menular.

Belum pun habis pilihan raya negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya, terus mengeluarkan kenyataan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen tidak kira UMNO menang atau kalah pada pilihan raya negeri kali ini.

Mohamad seolah mengatakan Ismail Sabri tidak pandai memerintah negara dan kini gagal menguruskan pandemik dan ekonomi negara dan beliau harus berada di Putrajaya bagi menyelamatkan negara.

Lihatlah UMNO rakan sendiri pun mahu dibelasah dan ditikam tanpa segan silu hanya semata-mata mahu berebut kuasa.

Ismail Sabri bukan duduk berlunjur kaki, beliau setiap hari melakukan pelbagai usaha dan inisiatif bagi memulihkan negara ini selepas melalui fasa pandemik dan kini memasuki fasa endemik. Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri selaku Pengerusi Pelan Pemulihan Negara bertungkus-lumus memastikan negara ini berada di landasan yang betul untuk kembali mendapat keyakinan pelabur asing dan pada masa yang sama mahukan sempadan negara dibuka bagi memboleh kemasukan pelancong asing untuk menggerakkan industri berkenaan yang menjadi enjin utama ekonomi negara.

Zahid tidak habis-habis bercakap soal siapa poster boy Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan. Sedangkan hendak disebut poster boy rasa loya tekak kerana yang dijadikan poster boy UMNO sendiri sudah ganyut.

UMNO juga bangga kerana telah mengumumkan calon MB mereka, jadi mereka terus mendesak parti lawan berbuat perkara yang sama. Jadi tidak payahlah melayan politik kuno UMNO ini dan biarlah mereka seronok sendiri.

Tanpa mereka sedar bahawa UMNO mulai dibenci oleh majoriti rakyat negara ini kerana dua pilihan raya negeri dipaksa oleh mereka.

Para pemimpin mereka yang telah didapati salah kes jenayah dan sedang berdepan puluhan jenayah dan salah guna kuasa juga tidak berhenti berceramah di Johor.

Mereka tidak sedar keghairahan mereka ibarat menggali kubur sendiri pada pilihan raya umum akan datang apabila kebencian rakyat memuncak nanti. Isu 1MDB bergema kembali dan tidak payah bersilat bagaimanalah, takkan hakim di Amerika Syarikat bodoh dan mempunyai kepentingan peribadi atau dipengaruhi oleh pihak pembangkang untuk membuat keputusan yang tidak menyebelahi UMNO dan para pemimpinnya. Hanya pentaksub UMNO sahaja yang belum sedar akan hakikat sebenar.

UMNO mungkin menang besar di Melaka dan Johor, tetapi tidak pada pilihan raya akan datang, jika tidak berubah sikap dan menunjukkan telah insaf dengan membuang pemimpin toksik.

Rakyat negara ini bukan membenci UMNO, tetapi membenci pemimpin toksik yang menguasai parti itu.

(Visited 1,116 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button