Ekonomi

UEM Group sokong agenda tenaga boleh baharu, strategi dan inisiatif NETR

UEM Group Berhad (UEM Group), anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menyokong sepenuhnya agenda tenaga boleh baharu Malaysia dan menyambut baik strategi dan inisiatif yang terkandung di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, di bawah NETR, kerajaan telah membentangkan kerangka strategi dan inisiatif yang jelas, bukan sahaja untuk memacu peralihan tenaga dalam negara, tetapi juga untuk menaikkan taraf ekonomi, mensejahterakan kehidupan Rakyat dan meletakkan Malaysia selaku peneraju serantau dalam industri tenaga boleh baharu.

“NETR secara tepat mengenal pasti kedudukan semasa di samping mempersiapkan negara untuk mendepani cabaran di masa hadapan. Komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan dalam melaksanakan anjakan paradigma ekonomi ini sewajarnya dipuji dan kami yakin dengan sokongan dasar yang berterusan, ia akan membuka jalan untuk Malaysia menjadi ekonomi bernilai tinggi, lebih hijau dan mampan di samping mencapai aspirasi pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“UEM Group komited sepenuhnya dan bersedia untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, dari dalam dan luar negara, yang akan memberikan impak positif yang besar serta mencipta momentum yang diperlukan untuk kita terus melangkah ke hadapan dalam bidang ini,” katanya dalam kenyataan.

UEM Group baharu saja mengumumkan rancangan untuk membangunkan sebuah Loji Janakuasa Solar Fotovoltaik Hibrid 1 GW bersepadu dengan Taman Perindustrian Tenaga Boleh Baharu (RE) di Malaysia. Projek ini, yang merupakan salah satu daripada 10 projek pemangkin utama yang diumumkan sebelum ini di bawah Fasa pertama NETR, bakal menyaksikan penglibatan sebuah lagi syarikat tempatan dan tiga pelabur antarabangsa.

Syarikat tersebut juga telah mengumumkan program sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) bernilai RM7 bilion di bawah sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV), UEM Olive Capital Berhad, di mana hasilnya akan digunakan bagi tujuan pelaburan yang
bakal dikendalikan sayap pelaburan hijaunya iaitu UEM Lestra Berhad.

Di samping itu,  UEM Group pada 16 Ogos 2023 juga telah mengumumkan pengambilalihan Cenergi SEA Berhad, sebuah syarikat yang memiliki kepakaran dalam mengurangkan jejak karbon menerusi pelaburan dalam tenaga boleh baharu, terutamanya biogas, biomas dan solar serta projek kecekapan tenaga. – SM

(Visited 62 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button