Ekonomi

Hasil Samaiden suku pertama 2023 naik 71.82 peratus

PETALING JAYA 16 NOVEMBER 2022 – Samaiden Group Berhad (Samaiden), pakar tenaga boleh diperbaharui (RE) yang terlibat terutamanya dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem fotovoltaik solar (PV) dan loji janakuasa hari ini mengumumkan peningkatan hasil suku pertama tahun kewangan 2023 berakhir 30 September lalu meningkat 71.82 peratus kepada RM40.77 juta berbanding RM23.73 bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Bagi suku dalam tinjauan, Samaiden merekodkan peningkatan 19.90 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM3.28 juta berbanding RM2.74 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
Bagi keuntungan selepas cukai bagi tempoh tersebut, ia mencatatkan pertumbuhan 18.02 peratus kepada RM2.44 juta berbanding RM2.07 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022.
Perkhidmatan EPCC menyumbang kepada kira-kira 99.63 peratus daripada hasil Samaiden pada suku pertama 2023. Perniagaannya yang lain ialah perundingan alam sekitar dan operasi dan penyelenggaraan.
Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir. Chow Pui Hee berkata, prestasi kewangan pada suku yang ditinjau sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan dalam bilangan projek serta nilai lebih tinggi daripada jumlah kontrak.
“Kami memandang positif pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022-2040 pada September 2022 kerana ia menggariskan masa depan dan keutamaan utama bagi sektor tenaga pada tahun-tahun akan datang. Dasar itu akan meletakkan sektor tenaga sebagai pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi.” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Pui Hee berkata, Samaiden juga digalakkan dengan pembukaan baharu permohonan kuota 600MW oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di bawah inisiatif Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
CGPP menggunakan perjanjian pembelian kuasa maya untuk membolehkan penjualan tenaga boleh diperbaharui kepada pelanggan korporat pada harga yang dipersetujui bersama dan tempoh kontrak dan pemaju ladang solar berskala besar dan/atau penjana boleh mengambil bahagian dalam pasaran elektrik yang dikendalikan oleh Pembeli Tunggal melalui mekanisme New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) dan perdagangan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) dan/atau sebarang atribut hijau.
“Penggunaan sistem PV solar dan loji kuasa yang semakin meningkat oleh perniagaan yang berminat untuk mempercepatkan usaha mereka dalam inisiatif ESG juga akan memberi peluang kepada kami untuk menawarkan perkhidmatan EPCC kami untuk pemasangan sistem PV solar serta loji kuasa solar dan bukan solar. Kami akan terus memanfaatkan kecekapan dan pengalaman teras kami dalam menyediakan perkhidmatan hujung ke hujung untuk potensi PV solar dan projek bukan solar yang lain” ujarnya lagi.

(Visited 99 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button