Ekonomi

Bank perlu lakukan lebih banyak perkara bagi bantu segmen B40 & M40

BANK perlu melakukan lebih banyak perkara untuk membantu rakyat, terutamanya kumpulan B40 dan M40 bagi melengkapi langkah kerajaan dalam memacu aktiviti perniagaan ketika menghadapi pandemik pada masa ini.

Antara bidang yang berkaitan, yang akan membantu rakyat, ialah mengurangkan kadar faedah yang dikenakan ke atas jumlah tertunggak kad kredit.

Dengan kad kredit dalam edaran meningkat kepada 9.1 juta pada Januari tahun ini, menurunkan kadar faedah ke atas jumlah tertunggak kad kredit akan membantu memberi tambahan tunai kepada rakyat Malaysia.

Ini bukan bermakna bank tidak melakukan apa-apa untuk membantu mereka yang terjejas oleh kelembapan ekonomi berikutan COVID-19 yang menyebabkan ribuan orang tidak dapat membayar pinjaman mereka dengan segera.

Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) membantu meringankan beban rakyat berikutan kesukaran ekonomi terdiri daripada dua aspek, iaitu mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan meminta bank memperkenalkan moratorium selama enam bulan bagi semua bayaran pinjaman.

BNM telah mengurangkan OPR sebanyak 50 bps kepada 2.0 peratus pada bulan lepas — pengurangan OPR kali ketiga pada tahun ini dan membawa kepada kadar pinjaman asas (BLR) terendah sejak 2010.

Dengan pengurangan OPR, kadar pinjaman untuk semua pinjaman dalam pinjaman runcit seperti pinjaman perumahan, sewa beli, pinjaman pelaburan dan pinjaman komersial yang diambil oleh perusahaan kecil dan sederhana, syarikat besar akan menyaksikan pengurangan bayaran faedah, sekali gus memberi kelegaan kepada peminjam.

Bagi pengguna individu dengan pinjaman perumahan atau pinjaman kereta, ini bermakna tambahan tunai untuk mereka yang membolehkan mereka berbelanja untuk barangan keperluan.

Walaupun semua ini adalah baik, anehnya, tiada bank yang mengurangkan kadar faedah yang dikenakan ke atas jumlah tertunggak kad kredit.

Kadar untuk pelanggan baharu sebanyak 18 peratus setahun dan pelanggan dengan rekod yang baik sebanyak 15 peratus setahun telah kekal untuk tempoh yang lama — walaupun dengan kadar OPR terendah pada masa ini.

Memandangkan minimum kriteria kelayakan untuk kad kredit asas kekal pada RM1,500 sebulan, sebahagian besar segmen yang akan mendapat manfaat daripada pengurangan ini adalah segmen B40 dan M40.

Mungkin BNM perlu menyiasat sebab bank enggan mengurangkan kadar tertunggak kad kredit apabila mereka boleh mengurangkan kadar pinjaman perumahan dan kereta.

Tambahan pula, jika kos dana asas mereka dikurangkan, bukankah pengurangan kadar ini diperluaskan kepada semua segmen pelanggan yang meminjam.

Ini terutamanya apabila BNM menggalakkan masyarakat tanpa tunai, lebih-lebih lagi dengan percambahan e-dompet dalam era digital.

Bagaimanapun, perlu diambil perhatian bahawa pengurangan OPR adalah serampang dua mata.

Walaupun peminjam cenderung untuk mendapat manfaat daripada bayaran faedah yang lebih rendah, penyimpan akan menyaksikan pengurangan dari segi kadar simpanan dan simpanan tetap (FD).

Ini akan memberi impak kepada semua penyimpan, terutamanya pesara dan kumpulan B40, yang bergantung kepada pulangan daripada simpanan untuk keperluan harian mereka.

Apabila impak ini menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah, BNM akan membantu mengurangkan impaknya, malah mungkin meminta terbitan bon runcit — seperti yang dilakukan sebelum ini.

Bagaimanapun, tempoh terbitan bon ini dengan persekitaran hasil yang rendah akan menjadi cabaran yang besar walaupun untuk bank pusat.

Apa yang lebih praktikal ialah memandangkan bank telah menikmati dana tanpa kos selama bertahun-tahun, tidakkah BNM menguatkuasakan pembayaran faedah yang sesuai ke atas akaun semasa, terutamanya apabila bank telah mengenakan fi ke atas cek yang dikeluarkan oleh pendeposit sejak 2010.

Bank menikmati dana tanpa kos dalam bentuk deposit akaun semasa daripada individu dan syarikat, berikutan tiada faedah dibayar untuk akaun semasa konvensional.

Hanya entiti kerajaan dan syarikat besar terpilih yang mendapat faedah untuk akaun semasa, manakala akaun semasa Islam mendapat perkongsian keuntungan.

Perlu dilihat bahawa persekitaran kadar faedah yang rendah pada masa ini untuk tempoh satu hingga dua tahun akan datang atau mungkin lebih lama, dan rakyat perlu mengambil kira ini dalam pelan persaraan mereka.

Pada masa ini, terdapat beberapa negara di Eropah yang tidak membayar faedah ke atas deposit berikutan kadar negatif yang ditetapkan oleh bank pusat untuk dana antara bank.

Diharapkan, senario ini tidak akan berlaku dalam sektor perbankan dan kewangan Malaysia.

Mungkin, apa yang perlu dilakukan oleh pendeposit ialah menguruskan simpanan mereka secara aktif.

Misalnya, mereka boleh memindahkannya ke institusi kewangan yang memberi ganjaran kepada pendeposit dengan dana ‘tambahan’ seperti melalui kempen penambahan simpanan yang dijalankan oleh beberapa bank pada masa ini.

Mereka akan mendapat ganjaran dengan cara ini melalui kadar deposit yang tinggi untuk dana tambahan kepada baki simpanan mereka.

Mengapa ini disarankan ialah supaya pendeposit mendapat pulangan yang lebih tinggi berikutan kini lebih mudah untuk memindahkan dana dalam sistem perbankan.

Selain itu, melakukan pemindahan dana pada hari ini lebih mudah dengan perbankan dalam talian.

Rejim kadar faedah rendah akan wujud untuk tempoh sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun akan datang.

Susulan ini akan menjadi normal baharu, terdapat beberapa pertimbangan penting yang perlu diberi perhatian oleh bank, institusi kewangan dan pelanggan apabila merancang untuk masa depan.

Antara pertimbangan utama ialah sama ada terdapat keperluan untuk bank dan institusi kewangan menguji produk mereka dalam senario “terburuk” untuk membina ketangkasan agar dapat memenuhi keperluan semasa pelanggan.

Misalnya, dalam pinjaman dengan kadar tetap, mungkin mereka boleh menawarkan beberapa pilihan yang fleksibel untuk pembayaran balik kepada pelanggan dalam tempoh yang diperlukan.

Mereka boleh secara automatik membenarkan pembayaran balik yang lebih rendah apabila perlu dan “meningkatkan” pembayaran balik apabila pelanggan mempunyai keupayaan untuk membayar lebih tanpa keperluan kepada dokumentasi tambahan.

Ini akan mengatasi kelemahan moratorium yang wujud memandangkan peminjam sukar untuk pergi ke bank dengan masih terdapat virus COVID-19.

Dengan tiada yang benar-benar yakin bila ekonomi akan pulih, adalah lebih baik bank melakukan lebih banyak perkara untuk membantu rakyat yang mana boleh bersama dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi daripada kelembapan.

Tambahan pula, bank perlu ingat bahawa peminjam, penyimpan dan pendeposit merupakan pihak yang memberi mereka perniagaan yang membolehkan mereka melaporkan keuntungan yang baik pada setiap tahun.

Tiba masanya bank memberi sokongan untuk membantu rakyat Malaysia biasa pada masa yang amat diperlukan. – BERNAMA

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button