Ekonomi

Public Bank Perkukuh Ciri-ciri Keselamatan Perbankannya Untuk Menangani Scam dan Penipuan

PARA pelanggan Public Bank terus mendapat pengukuhan ciri-ciri keselamatan perbankan untuk menangani penipuan kewangan.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk mengukuhkan keselamatan  perbankan untuk pelanggannya, Public Bank baru-baru ini memperkenalkan tempoh bertenang melalui perbankan internet PBe dan aplikasi mudah alih PB engage MY untuk urus niaga yang dianggap luar daripada kebiasaannya.

“Tempoh bertenang urus niaga ini merupakan salah satu daripada lima langkah utama Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menangani penipuan kewangan dan Public Bank telah melaksanakan kelima-lima langkah tersebut.

“Bank akan terus berwaspada dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk memastikan persekitaran perbankan dalam talian yang kukuh dan selamat untuk pelanggan kami,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek.

Lima langkah utama yang diumumkan pada bulan Disember 2022 oleh BNM ialah tempoh bertenang urus niaga, peralihan daripada kata laluan satu kali (OTP) melalui SMS kepada kaedah penentusahan yang lebih selamat, peranti khusus tunggal untuk penentusahan, penyingkiran hiperpautan daripada komunikasi melalui SMS dan e-mel serta Talian Hotline Keselamatan Penipuan 24 Jam untuk pelanggan.

Tempoh bertenang urus niaga Public Bank itu merupakan langkah pencegahan yang membolehkan Bank menyemak dan menilai urus niaga tertentu yang menunjukkan ciri-ciri luar daripada kebiasaan. Langkah tambahan ini direka untuk mengurangkan risiko urus niaga yang tidak dibenarkan dan kemungkinan berlakunya aktiviti penipuan demi menjamin keselamatan dana pelanggan.

Pelanggan akan dimaklumkan mengenai status urus niaga mereka melalui pelbagai saluran seperti SMS, e-mel dan paparan notifikasi. Selain itu, pelanggan boleh log masuk dalam PBe mereka untuk menyemak urus niaga yang belum selesai dengan menekan “Akaun” dan memilih “Lihat Penentusahan Belum Selesai.”

Kedua, Public Bank telah memperkukuhkan keselamatan melalui peralihan daripada penentusahan secara kata laluan satu kali (OTP) melalui SMS kepada kaedah yang lebih selamat bagi memastikan penentusahan yang lebih kukuh untuk meluluskan urus niaga. Semua pengguna PBe dan PB engage MY kini dikehendaki mengaktifkan kaedah penentusahan 2 faktor yang lebih kukuh, yang dikenali sebagai PB Secure Sign.

Berikutan pengaktifan tersebut, pelanggan mesti membolehkan paparan notifikasi berfungsi pada peranti mereka untuk membenarkan urus niaga menggunakan PB SecureSign. Pengaktifan itu hanya boleh dibuat melalui ATM, cawangan Public Bank dan Meja Bantuan Sokongan Pelanggan PBe melalui 603-2170 8000.

Sebaik sahaja diaktifkan, PB SecureSign itu akan melalui tempoh bertenang selama 12 jam. Pelanggan hanya boleh mula meluluskan urus niaga dalam talian selepas tempoh bertenang itu berakhir.

Ketiga, untuk terus menjamin keselamatan platform perbankan dalam talian pelanggan, PB SecureSign hanya boleh diaktifkan pada peranti tunggal yang akan digunakan sebagai peranti utama yang bertanggungjawab untuk meluluskan urus niaga.

Selain itu, pelanggan yang mencuba untuk mengakses PBe pada platform lapuk atau penyemak seimbas yang tidak sepadan, akan dihala ke halaman log keluar.

Selain itu, sokongan untuk peranti yang beroperasi menggunakan sistem operasi Android 9 dan iOS 10 telah dihentikan berikutan kurangnya kemas kini keselamatan bagi sistem pengoperasiannya.

Keempat, Public Bank juga telah melaksanakan penyingkiran pautan hiper daripada SMS dan komunikasi e-mel. Langkah-langkah tambahan ini bertujuan untuk memelihara maklumat perbankan peribadi pelanggan.

Bank telah menyingkirkan kesemua hiperpautan yang boleh diklik dalam pelbagai e-mel termasuk e-mel alu-
aluan, peringatan log masuk kepada PBe dan e-mel pengaktifan PB SecureSign.

Penting untuk pelanggan untuk berhati-hati dan tidak memberi respons kepada apa-apa SMS atau e-mel yang mempunyai hiperpautan yang boleh diklik kerana SMS atau e-mel tersebut boleh dihantar oleh penipu.

Kelima, Talian Hotline Keselamatan Penipuan Siber 24 jam juga disediakan bagi memberi saluran khusus yang beroperasi selama 24 jam bagi membolehkan para pelanggan untuk melaporkan scam atau aktiviti yang mencurigakan berkaitan dengan akaun mereka.

Public Bank secara aktif terus menggalakkan kesedaran anti-scam di seluruh titik sentuh digitalnya, termasuk laman web Bank, aplikasi perbankan mudah alih, mesej pantas melalui e-mel, platform media sosial dan laman mikro keselamatan dalam talian Bank dengan pelbagai kandungan.

Sekiranya pelanggan menyedari apa-apa kejanggalan dalam akaun bank mereka atau mengesyaki berlaku aktiviti penipuan, mereka boleh menghubungi Talian Hotline Keselamatan Penipuan Siber 24 jam melalui 03-2177 3555 atau Pusat Respons Scam Kebangsaan melalui 997 antara 8:00 pagi hingga 8:00 malam setiap hari.

Pengguna juga boleh melayari laman mikro Keselamatan Dalam Talian Public Bank melalui  Https://www.pbebank.com/onlinesecurity/index.html untuk mengetahui tentang modus operandi penipuan dan scam yang semakin berleluasa. –SM

(Visited 383 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button