Ekonomi

Kumpulan Public Bank Catat Untung Sebelum Cukai Sebanyak RM6.47 Bilion

Kumpulan Public Bank memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM6.47 bilion dan untung bersih sebanyak RM5.03 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun 2023, mencatatkan pertumbuhan masing-masing sebanyak 2.6% dan 14.3% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2022.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sr Dr. Tay Ah Lek, berkata, “Kumpulan Public Bank terus mempamerkan keteguhan dalam prestasi kewangannya bagi sembilan bulan pertama tahun 2023, dengan perniagaan pinjaman dan depositnya kekal berada pada landasan pertumbuhan yang positif.

“Kumpulan juga terus menyelenggara persekitaran operasi yang mencabar dengan pengurusan kos berhemat dan kualiti aset yang stabil, mencatatkan pulangan ekuiti bersih yang memberangsangkan sebanyak 13.1%.”

Katanya, bagi sembilan bulan pertama tahun 2023, pendapatan faedah bersih meningkat sebanyak 0.7% dan pendapatan bukan faedah meningkat sebanyak 3.4% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2022.

Katanya, Kumpulan terus berhemat dalam pengurusan kos dan mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 33.7% dalam sembilan bulan pertama tahun 2023.

Nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar kekal stabil pada 0.58%, mencerminkan profil risiko yang teguh bagi portfolio pinjaman Kumpulan. Peruntukan pengurangan nilai pinjaman adalah lebih baik sebanyak 78.3% berbanding dengan tempoh yang sama sebelum ini, manakala nisbah perlindungan kerugian pinjaman terus pada tahap yang baik sebanyak 186.9% pada akhir bulan September 2023.

Perniagaan Pinjaman dan Deposit Pada sembilan bulan pertama tahun 2023, jumlah pinjaman Kumpulan Public Bank meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 5.9% kepada RM393.6 bilion.

Portfolio pinjaman domestik Kumpulan mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan yang kukuh sebanyak 5.7% berbanding dengan kadar pertumbuhan industri perbankan sebanyak 4.1% pada tempoh yang sama.

Pertumbuhan pinjaman domestik terus dipacu oleh pembiayaan hartanah kediaman, pembiayaan sewa beli dan pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang berkembang pada kadar tahunan masing-masing sebanyak 6.4%, 10.8% dan 1.5%.

Kumpulan juga berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran bagi segmen pembiayaan utama, dengan bahagian pasaran sebanyak 20.5% dalam pembiayaan hartanah kediaman, 30.5% dalam pembiayaan sewa beli dan 18.4% dalam pembiayaan PKS.

Jumlah pinjaman domestik baharu yang diluluskan meningkat sebanyak 10.2% bagi sembilan bulan pertama tahun 2023 berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lepas, menyokong saluran untuk pertumbuhan
pinjaman masa hadapan yang teguh.

Jumlah deposit pelanggan meningkat pada kadar tahunan sebanyak 4.7% kepada RM408.6 bilion. Deposit domestik melonjak sebanyak 4.6% pada kadar tahunan kepada RM379.7 bilion, disokong oleh pertumbuhan yang konsisten dalam deposit runcit. Pada akhir bulan September 2023, Kumpulan mengekalkan nisbah pinjaman
kepada dana dan ekuiti kasar yang stabil sebanyak 81.9%.

Kualiti Aset

Pada akhir bulan September 2023, nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar Kumpulan Public Bank berada pada  0.58%, ketara lebih rendah daripada nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar industri perbankan domestik sebanyak 1.72%.

Walaupun kualiti asetnya teguh, Kumpulan mengekalkan tahap peruntukan yang berhemat dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman sebanyak 186.9%, jauh melebihi nisbah perlindungan kerugian pinjaman industri perbankan sebanyak 91.2%. Termasuk rizab pengawalseliaan, nisbah perlindungan kerugian pinjaman
Kumpulan adalah lebih tinggi pada 215.4%.

Pendapatan Bukan Faedah Pendapatan bukan faedah meningkat sebanyak 3.4% kepada RM1.87 bilion dalam
sembilan bulan pertama tahun 2023, terutamanya disumbangkan oleh perniagaan pertukaran asing dan pembrokeran saham, masing-masing berkembang sebanyak 29.5% dan 22.5% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2022.

Public Mutual, subsidiari pengurusan unit amanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Kumpulan Public Bank, kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatan bukan faedah Kumpulan. Bagi sembilan bulan pertama tahun 2023, Public Mutual mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak 2.1% dari tahun ke
tahun kepada RM592.8 juta, dan menyumbang 9.2% kepada keuntungan Kumpulan.

Pada akhir bulan September 2023, Public Mutual terus menguasai bahagian pasaran runcit yang besar sebanyak 35.1% dengan sejumlah 181 dana unit amanah dan nilai aset bersih di bawah pengurusan sebanyak RM95.0 bilion.

Operasi Luar Negeri

Pada sembilan bulan pertama berakhir pada September 2023, operasi luar negeri Kumpulan Public Bank menyumbang sebanyak 7.5% kepada keuntungan Kumpulan, sebahagian besarnya merupakan sumbangan daripada operasinya di Hong Kong dan Indochina.

Public Bank Vietnam Limited dan Cambodian Public Bank Plc terus memberi prestasi keuntungan yang teguh, seperti yang ditunjukkan dalam pertumbuhan keuntungan masing-masing sebanyak 8.5% dan 34.3%. Kumpulan kekal optimistik terhadap perkembangan perniagaan wilayahnya di Indochina dan akan terus memperluaskan rangkaian cawangannya serta melaksanakan strategi pertumbuhan yang efektif bagi memperkukuhkan sinergi perniagaannya di wilayah berkenaan.

Operasi Kumpulan di Hong Kong kekal mencabar di tengah-tengah ketidakstabilan global yang membebankan persekitaran operasi perbankan. Kumpulan sentiasa berwaspada terhadap risiko kredit sambil terus merebut dan memanfaatkan peluang perniagaan.

Kedudukan Modal dan Mudah Tunai

Pada akhir bulan September 2023, Kumpulan Public Bank mengekalkan tahap modal yang baik dengan nisbah modal ekuiti biasa Kumpulan 1, nisbah modal Kumpulan 1 dan jumlah nisbah modal masing-masing berada pada 14.5%, 14.5% dan 17.4%.

Nisbah perlindungan mudah tunai juga terus melebihi keperluan pengawalseliaan pada tahap yang baik sebanyak 131.4%. Prospek Kumpulan Di peringkat landskap global, pertumbuhan ekonomi dunia dijangka terus mencabar. Aktiviti ekonomi di China dijangka berkembang selepas pembukaan semula ekonominya, meskipun pertumbuhan dijangka lebih perlahan daripada biasa.

Kebanyakan ekonomi besar terus berhadapan dengan cabaran berikutan keadaan pasaran kewangan yang lebih ketat, aliran perdagangan luar yang semakin menurun, ekonomi yang bergerak perlahan di negara ekonomi utama dan ketegangan geopolitik yang berpanjangan.

Pada peringkat domestik, ekonomi Malaysia dijangka kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil terutamanya disokong oleh permintaan domestik, keadaan pasaran buruh yang bertambah baik, aktiviti pelancongan dan  kemajuan dalam projek-projek pelaburan.

Pada masa yang sama, ekonomi Malaysia tidak terkecuali daripada dilanda cabaran global disebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih perlahan dan keadaan pasaran kewangan global yang sentiasa berubah-ubah.

(Visited 65 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button