Politik

Tun M tidak ingin bersama Muhyiddin, selepas dinasihat bekerjasama

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak ingin bersama dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Penegasan itu dibuat selepas ramai yang menasihatkan beliau untuk menyokong dan bekerjasama dengan Muhyiddin.

Dr. Mahathir menjelaskan beliau menolak nasihat itu kerana merasakan tindakan Ahli Parlimen Paloh itu menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan sebagai satu pengkianatan terhadap perjuangan Bersatu.

“Tetapi Muhyiddin bersama dengan ahli UMNO yang masuk Bersatu telah rancang untuk jatuhkan Pakatan Harapan (PH) dan diri Kerajaan baru bersama dengan kleptokrat yang kami telah kalahkan.

“Bagi saya ini adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat. Ia juga mengkhianati rakan dalam PH yang menjayakan perjuangan kami. Tanpa PH Muhyiddin tidak mungkin menang, tidak mungkin jumpa pintu belakang,” kata Dr. Mahathir.

Dalam hantarannya di Facebook hari ini, Dr. Mahathir mendakwa Muhyiddin ketika ini berusaha supaya Bersatu hilang pemimpin dengan melucut keahlian mereka.

“Dalam PRU 15 UMNO akan lawan dengan Bersatu yang tinggal terkuntang-kanting tanpa sokongan PH. Bukan sahaja Muhyiddin yang akan kalah tetapi semua calon Bersatu akan kalah. Maka tamatlah riwayat Bersatu dan bermaharajalela UMNO dengan “Cash is King”nya.

“Sejarah akan catat pengkhianatan Muhyiddin kepada rakyat yang telah beri kemenangan kepada PH. Saya tidak ingin bersama dengan Muhyiddin dan pengkhianatannya,” kata Dr. Mahathir.

Beliau turut menuduh sokongan UMNO terhadap Muhyiddin hanyalah untuk menyelamatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak daripada dipenjara.

Dr. Mahathir turut mendakwa Muhyiddin ketika ini sedang berusaha untuk membebaskan Ahli Parlimen Pekan itu daripada segala tuduhan di mahkamah.

“UMNO menyokong Muhyiddin jadi Perdana Menteri supaya usaha untuk lepas Najib dari dipenjara dapat dilakukan.

“Kita dapat lihat usaha ini sedang berjalan. Jauh dari menunai janji untuk jatuhkan Najib, Muhyiddin sekarang sedang berusaha supaya Najib bebas dari segala tuduhan dan dapat bertanding dalam PRU 15.

“Di waktu itu Najib tidak perlu Muhyiddin lagi, kerana Najib berhasrat menjadi Perdana Menteri,” kata Dr. Mahathir. –SM

(Visited 254 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button