Nasional

Tujuh isu penting dari Dr Zambry

Menteri Luar Negeri, Dr Zambry Abd Kadir mengeluarkan kenyataan dan membahaskan tentang 7 isu penting.

Antara isu tersebut adalah Keamanan dan Kestabilan Serantau, Triti Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara, DPRK, Islamofobia, Palestin dan Laut China Selatan, Isu Minyak Kelapa Sawit, Situasi di Myanmar dan Pertemuan Dua Hala.

“Pentingnya dialog dan kerjasama bagi memastikan rantau ini kekal aman, stabil dan makmur terutamanya ketika dunia berhadapan kemelut geopolitik yang semakin meruncing. YAB Perdana Menteri telah pun menggariskan pendirian yang sama di Sidang Kemuncak ASEAN terdahulu. Saya telah mendesak kuasa-kuasa besar agar menangani perbezaan pendapat di kalangan mereka secara sihat dan bertanggungjawab termasuk melalui mekanisme yang diterajui ASEAN seperti ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP).

“Saya telah menegaskan kepentingan rantau kita kekal bebas daripada ancaman senjata nuklear.

“Saya terus-menerus menggesa negara-negara bersenjata nuklear agar secepat mungkin menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Triti Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

“Menyahut saranan ASEAN, China telah menyatakan kesediaan untuk menandatangani dan meratifikasi protokol SEANWFZ tanpa pengecualian manakala negara-negara bersenjata nuklear seperti UK, Rusia dan Amerika Syarikat telah menyatakan kesediaan mereka untuk berbincang dengan ASEAN berhubung perkara ini.

“Saya juga telah mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran peluru berpandu berulang kali oleh DPRK termasuk baru-baru ini pada 12 Julai 2023 iaitu pada hari kami sedang bersidang di Jakarta yang mengancam keselamatan dan keamanan antarabangsa. DPRK perlu menghentikan program nuklear dan peluru berpandunya dengan serta-merta.

“Saya turut mengambil peluang untuk menyampaikan kebimbangan Malaysia terhadap ketidakpekaan dan cubaan menghasut kebencian di sesetengah negara seperti tindakan membakar naskhah Al-Quran di beberapa negara. Saya menekankan bahawa sifat perkauman, tidak bertolak ansur dan prejudis serta perbuatan memusnahkan kitab-kitab suci sebarang agama adalah satu tindakan biadab dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya.

“Kekejaman terhadap rakyat Palestin harus dihentikan serta merta. Saya telah mengecam sekeras-kerasnya serangan udara oleh rejim Israel di Jenin, Tebing Barat.

“Saya menyeru kepada rakan luar ASEAN terutamanya kuasa-kuasa besar supaya konflik di Palestin diberikan perhatian yang sama seperti konflik- konflik lain yang sedang berlaku di dunia ini. Ini satu sikap diskriminatif negara-negara tertentu yang kerap mengecam konflik di negara lain tetapi terus melindungi rejim Israel.

“Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa untuk menuntut rejim Israel menghentikan jenayah kemanusiaan yang kejam serta dasar apartheid terhadap rakyat Palestin demi kepentingan keamanan dan kestabilan.

“Malaysia berpendirian tegas bahawa Laut China Selatan harus kekal aman, stabil dan makmur. Isu-isu berkenaan Laut China Selatan perlu ditangani secara damai dan rasional menerusi dialog dan rundingan menggunakan saluran diplomatik.

“Saya turut merakamkan kekecewaan bahawa pendirian ASEAN mengenai isu Laut China Selatan telah tidak diambil kira oleh Mesyuarat Menteri- menteri Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) baru-baru ini di Azerbaijan. Hal ini telah dipersetujui sebulat suara oleh semua negara anggota ASEAN dan turut dizahirkan di dalam Joint Communique mesyuarat kali ini.

“Komoditi kelapa sawit tetap menjadi keutamaan negara. Saya merakamkan

“Kebimbangan Malaysia mengenai impak daripada Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EU Deforestation Regulation – EUDR) ke atas sektor komoditi terutamanya minyak sawit dan pekebun-pekebun kecil dari negara-negara pengeluar ASEAN.

“Semasa mesyuarat, saya telah merujuk kepada lawatan bersama Malaysia dan Indonesia ke Brussels, Belgium pada 30 hingga 31 Mei 2023 untuk membincangkan bersama pihak EU mengenai pelaksanaan EUDR yang harus memanfaatkan semua pihak. Malaysia, Indonesia dan EU akan membentuk pasukan petugas bersama bagi mengkaji dan mencari penyelesaian yang saling menguntungkan (win-win solution).

“Situasi di Myanmar semakin membimbangkan. Serangan udara dan laporan-laporan berkaitan pembunuhan terus-menerus berlaku meskipun pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan oleh ASEAN.

“ASEAN harus mengambil pendirian mengutuk sekerasnya tindakan- tindakan sebegini dan bukan sekadar menyatakan keprihatinannya. Saya telah mengusulkan supaya kenyataan yang lebih keras mengenai isu ini dimasukkan dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN Ke-56 (Joint Communique of the 56th AMM).

“Usaha bagi menangani situasi di Myanmar tidak seharusnya dilaksanakan secara sepihak (unilateral). Sebaliknya ia perlu berlandaskan Five-Point Consensus (5PC), menerusi penyelarasan dengan Pengerusi ASEAN dan dipersetujui oleh ASEAN.

“Saya telah menekankan bahawa sebarang sesi libat urus yang diadakan dengan pihak Myanmar tidak harus membawa maksud bahawa ASEAN mengiktiraf keabsahan (legitimacy) pihak berkuasa Myanmar.

“Di sela-sela mesyuarat ini, saya telah mengadakan sebanyak 11 pertemuan dengan rakan-rakan sejawat untuk membincangkan isu-isu dua hala. [Nota: Singapura, Arab Saudi, India, Timor-Leste, Jepun, Norway, Kanada, United Kingdom, Bangladesh, Mongolia dan Amerika Syarikat.].” Katanya.

Tambahnya lagi di dalam pertemuan-pertemuan ini, mereka juga telah membincangkan pelbagai usaha untuk terus mengeratkan hubungan dua hala dan mempertingkatkan kerjasama sedia ada di dalam pelbagai bidang ekonomi dan sosio-budaya.

Secara keseluruhannya, Malaysia telah memainkan peranan aktif mencari kesepakatan ASEAN di dalam isu-isu berkepentingan bersama. Ini terbukti melalui cadangan-cadangan Malaysia yang telah diterima pakai oleh negara-negara anggota ASEAN yang lain.

Kehadiran negara-negara Rakan-rakan Dialog ASEAN dan rakan-rakan luar yang lain di persidangan ASEAN ini adalah manifestasi kepada keupayaan ASEAN sebagai ‘convening power’ yang berupaya membawa kuasa-kuasa dunia dan serantau ke meja rundingan.

Tahniah kepada Ibu Retno Marsudi, Menteri Luar Negeri Indonesia atas kejayaan penganjuran AMM/PMC ke-56 ini. Malaysia terus menyokong sepenuhnya Kepengerusian ASEAN oleh Indonesia.

Malaysia turut menghargai usaha dan kepimpinan Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN 2023 dalam menghasilkan Joint Communique AMM ke-56 ini.

Akhir sekali, dengan mengambil kira bahawa Malaysia akan mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025, Malaysia akan terus mengekalkan momentum yang positif ini dan memastikan bahawa suara Malaysia terus lantang di persada antarabangsa.

(Visited 70 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button