fbpx
BeritaPolitikPRK
Trending

Tolonglah jangan ‘kacau daun’ Warisan

JANGAN `kacau daun’ perancangan pembangunan negeri Sabah yang sedang giat diusahakan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam tempoh lima hingga 10 tahun mendatang ini.

Ia termasuk meraih impak limpahan ekonomi untuk rakyat Sabah dari perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur menjelang 2024.

Itu permintaan Timbalan Ketua Menteri yang juga Timbalan Presiden Warisan, Datuk Dr. Jaujan Sambakong kepada pembangkang yang cukup agresif memburuk-burukkan kerajaan negeri dalam kempen pilihan raya kecil Kimanis yang kini memasuki hari ke lapan.

“Selepas ini Sabah akan ada rangkaian dengan ibu negara baharu Indonesia, ada pasaran di situ. Sudah tentu Sabah dekat dengan hubungan antarabangsa, maka kita minta lapangan terbang Sabah dibesarkan.


“Justeru, pengundi dalam PRK ini harus pastikan kerajaan negeri sekarang di bawah teraju Mohd, Shafie stabil..menang mereka (pembangkang) tidak akan ubah apa-apa tetapi menang calon Warisan (Datuk Karim Bujang) akan pastikan kedudukan wakil kerajaan negeri kuat di Parlimen.

“Kestabilan yang ada membolehkan kami (Warisan) merancang pembangunan di utara Kudat. Ada pelabuhan situ, ada industri. Di Kimanis, Papar ada industri minyak dan gas. Semua ini beri peluang pekerjaan.

“Saya juga berharap Kerajaan Pusat tidak terlepas pandang impak perpindahan ibu negara Indonesia. Kemungkinan penduduk Sabah dan Sarawak akan berhijrah ke Indonesia untuk meraih peluang pekerjaan di sana atau orang Sabah di Semenanjung tak balik ke sini.

“Akibatnya nanti Sabah yang luas ini tidak dapat dimanfaatkan,” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu kepada Suara Merdeka di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandau, dekat pekan Membakut malam tadi.

Pemindahan ibu negara Indonesia dijangka membawa kemakmuran ke wilayah Kalimant, sekali gus membawa tempias kemakmuran ke Sabah dan Sarawak.

Impak pertumbuhan Kalimantan akan menjadi lebih besar sekiranya wujud jalinan perhubungan darat, udara dan maritim yang baik antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

Kesan ini boleh diperhatikan menerusi kemasukan komuniti peniaga dan pelancong yang akan menjadikan bandar-bandar di Sabah seperti Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Semporna sebagai pintu masuk atau tempat transit mereka sebelum meneruskan perjalanan ke ibu kota Indonesia yang baharu itu.

Indonesia memindahkan ibu negara pentadbirannya ke wilayah Kalimantan Timur di Borneo menjelang 2024 bagi mengurangkan beban di Jakarta yang sesak dan penuh pencemaran.

Di Kalimantan Timur, lokasi di Bukit Soeharto dikenal pasti tapak sesuai untuk ibu kota baharu negara itu kerana memiliki infrastruktur mencukupi yang diperlukan.

Bukit Soeharto adalah kawasan hutan seluas 61,850 hektar dan boleh diakses dengan jalan raya dalam masa satu jam setengah dari Samarinda dan 45 minit dari Balikpapan, dua bandar raya terbesar di wilayah itu.

Bukit Soeharto terletak di pertengahan jalan bertol Samarinda dan Balikpapan. Kedua-dua bandar raya itu mempunyai lapangan terbang sendiri.

Show More

Related Articles

Back to top button