Politik

Najib pecat Kit Siang

AHLI Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan beliau ‘memecat’ Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang daripada jawatan ‘Menteri Hal Ehwal Najib’ (MenHEN).

Bekas perdana menteri itu secara berseloroh melantik Penasihat DAP itu menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Khairuddin (MenHEK).

‘Pemencatan’ itu dibuat oleh Najib berikutan Kit Siang kini tidak lagi memberi fokus terhadap isu-isu berkaitan dirinya tetapi kini beralih perhatian terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali.

“Uncle Kit Siang mengadu kenapa soalan dia berhubung Menteri PAS Khairuddin hanya diletakkan di tempat 38 daripada 41 soalan parlimen. Orang lain sibuk pasal Bajet 2021, Uncle sibuk Khairuddin.

“Sebab itu dengan dukacita saya ingin mengumumkan bahawa Kit Siang sudah dipecat dari jawatan MenHEN tetapi dilantik pula sebagai Menteri Hal Ehwal Khairuddin (MenHEK),” sindir Najib.

Najib berkata, Kit Siang mempunyai obses terhadap individu tertentu dalam tempoh tertentu.

Dakwa Najib, ada satu tahap Kit Siang terlalu obses terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Bertahun-tahun dia ratib tentang skandal BNM Forex RM33 bilion. Siap tulis buku untuk tuduh macam-macam kat Tun Mahathir.

“Tapi sesudah dia berpeluk dengan Atok, Kit Siang terus hilang minat.

“Duit negara RM33 bilion (RM100 bilion nilai sekarang) lesap sehingga satu habuk aset atau satu sen tak pernah didapati kembali pun Kit Siang malas nak layan lagi,” kata Najib.

Najib memberi gelaran MenHAN kepada Kit Siang selepas pemimpin DAP itu seringkali menyerang beliau di media sosial sebelum ini.

Veteran DAP itu dalam blognya hari ini mempersoalkan mengapa soalannya mengenai menteri PAS yang melanggar kuarantin Covid-19 diletak di nombor hujung dalam aturan mesyuarat Parlimen.

Kit Siang berkata, soalan berkenaan Khairuddin itu diletakkan di tempat ke-38 – iaitu nombor keempat terakhir daripada 41 soalan dalam aturan urusan mesyuarat sidang Dewan Rakyat untuk esok (2 Nov).

“Mengapakah soalan saya berkenaan menteri PAS yang melanggari SOP kuarantin Covid-19 ini diletakkan di tempat ke-38 dalam Dewan Rakyat esok dan bukannya di satu kedudukan yang lebih awal bagi membolehkannya dijawab secara lisan dalam parlimen?

“Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah enggan menjawab persoalan mengenai kekeliruan dalam penguatkuasaan undang-undang di mana Khairuddin, hanya didenda selepas melanggar SOP kuarantin Covid-19 sejurus selepas kembali dari Turki pada 7 Julai.

“Saya telah meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menjelaskan status terkini siasatan terhadap pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 oleh Khairuddin,”  kata Kit Siang.-SM

(Visited 369 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button