fbpx
Politik

Timbalan Ketua Wanita PKR Kedah letak jawatan

PKR negeri Kedah menerima satu lagi tamparan apabila Timbalan Ketua Wanita Negeri, Noor Hashimah Abu Hashim mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam parti itu.

Ini termasuk jawatannya sebagai Ketua Wanita PKR Cabang Langkawi dan Pengarah Jabatan Pilihanraya Wanita Negeri.

Noor Hashimah mengumumkan melepaskan semua jawatan itu melalui hantara di Facebooknya.

“Saya Noor Hashimah Abu Hashim, dengan ini melepaskan semua jawatan yang disandang sekarang ini di dalam Parti Keadilan Rakyat Cabang Langkawi (Ketua Wanita) yang menang pemilihan parti 2018 dan juga Timbalan Ketua Wanita Keadilan Negeri Kedah serta Pengarah Jabatan Pilihanraya Wanita Negeri (JPRWN) Kedah,” katanya dalam hantaran tersebut.

Tindakan Noor Hashimah itu selepas beberapa hari dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR mengumumkan untuk keluar dari parti itu dan seterusnya menyebabkan Pakatan Harapan hilang kuasa di Kedah.


ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin mengumumkan keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Tindakan mereka keluar PKR turut menjejaskan kedudukan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mukhriz tidak lagi mempunyai majoriti untuk kekal sebagai menteri besar selepas dua wakil rakyat PKR itu keluar parti.

Pas kini memiliki 15 daripada 36 kerusi di Dewan Undangan Negeri Kedah, manakala UMNO mempunyai dua kerusi.

Noor Hashimah berkata, tiada istilah merebut atau merampas serta khianat pada parti sebaliknya itu adalah hak seorang ahli atau anggota untuk tentukan pimpinan pilihannya.

“Pernah kagum dan bangga membawa logo Keadilan sehingga menang pilihanraya umum ke14 yang lalu.

“Teruja berpresiden seorang wanita hebat, DSWAWI (Datuk Seri Wan Azizah Ismail) penggal yang lalu. Tapi kini, rasa tawar hati apabila pimpinan parti terlampau mendesak untuk kepentingan diri.

“Tiada agenda yg nak dipertahankan melainkan agenda sendiri. Tidak lagi menghargai akar umbi yang mempertahankan serta menaikkan nama parti di cabang-cabang,” katanya.

Beliau menamatkan catatam dengan perkataan: “Selamat tinggal Parti KEADILAN.” – SM

 

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button