fbpx
Politik

Dua ADUN PKR keluar parti, PH tumbang di Kedah

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di Kedah mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas hari ini.

ADUN Lunas dan Sidam iaitu  Azman Nasrudin dan Dr. Robert Ling Kui Ee berkata, mereka bertindak meninggalkan PKR kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang akhbar sebentar tadi mereka turut menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional.

Tindakan mereka keluar PKR turut menjejaskan kedudukan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mukhriz tidak lagi mempunyai majoriti untuk kekal sebagai menteri besar selepas dua wakil rakyat PKR itu keluar parti.


Pas kini memiliki 15 daripada 36 kerusi di Dewan Undangan Negeri Kedah, manakala UMNO mempunyai dua kerusi.

Dengan sokongan dua ADUN bebas tersebut Perikatan Nasional bakal mengambilalih Kerajaan Negeri Kedah daripada Pakatan Harapan.

Selain itu, Dr Robert dan Azman juga mengumumkan mereka menjadi wakil rakyat bebas serta memberi sokongan padu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya Azman, bersama Yb Robert mengumumkan keluar daripada PKR dan memberikan sokongan padu kepada perdana menteri.

“Kami akan berkhidmat sebagai ADUN bebas,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pusat khidmatnya di Sungai Petani sebenar tadi.

Dengan pengumuman Dr Robert dan Azman itu, Menteri Besar Mukhriz Mahathir kini mempunyai sokongan 17 kerusi di DUN dan PN pula 19 kerusi.

Ketua Pembangkang Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bersimpati dengan nasib yang menimpa Muhkriz  yang digulingkan dari jawatan Menteri Besar Kedah sebanyak dua kali.

Menurut Sanusi, Mukhriz sepatutnya hanya perlu bersama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengelakkan daripada berdepan situasi itu.

Mengulas lanjut Sanusi pada sidang akhbar di Alor Setar, Kedah berkata, para pemimpin di peringkat pusat telah memutuskan siapa yang bakal menggantikan Mukhriz.

“Kami di peringkat negeri hanya melaksanakan apa yang diarahkan pemimpin tiga parti iaitu Pas, UMNO dan Bersatu,” katanya.

Kerajaan negeri Kedah pimpinan Pakatan Harapan runtuh (PH) apabila dua ADUN PKR mengumumkan keluar dari parti .

Muhammad Sanusi juga berkata, Perikatan Nasional (PN) juga tidak mengambil pendekatan tergesa-gesa dalam menyelesaikan kemelut politik di Kedah supaya ia berjalan lancar dan tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. -SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button