Ekonomi

Industri perladangan ditimpa masalah pembekuan pengambilan pekerja asing – CEO MPOA

INDUSTRI perladangan kelapa sawit berada di persimpangan dilemma ekoran pelbagai masalah yang melanda termasuk pembekuan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Mohd. Nageeb Abdul Wahab berkata kepada wartawan FMT hari ini, isu  pembekuan pengambilan pekerja asing menjadi kebimbangan utama.

MPOA, MEOA bimbang industri terjejas

Ini kerana kata Mohd. Nageeb, sektor perladangan itu berdepan dengan kekurangan kira-kira 36,000 orang pekerja sebelum penularan wabak Covid-19  yang mana itu turut mempengaruhi pengeluaran sebanyak 10%.

Walaupun sektor itu berjaya mengekalkan tenaga kerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata, lebih ramai pekerja boleh meninggalkan sektor itu pasca PKP.

BACA Pengambilan pekerja asing dibekukan hingga hujung tahun

“Tidak ada yang akan mengisi tenaga kerja di sektor perladangan ini. Sehubungan itu, saya amat bimbang dengan keputusan kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing,” katanya.

Beliau menambah, pihak persatuan sudah memaklumkan pihak kementerian (perusahaan perladangan dan komoditi) berhubung perkara itu.

“Kita mengharapkan semoga menteri mengambil kira masalah ini,” katanya pada persidangan maya Invest Malaysia 2020 anjuran Bursa Malaysia hari ini.

BACA Beku pekerja asing, majikan terpaksa berdepan karenah pekerja tempatan

Mohd. Nageeb berkata, hasil minyak sawit juga tidak berkembang disebabkan oleh kekurangan pekerja selain daripada faktor cuaca yang tidak menentu dan kualiti tanah.

Ujar beliau, fokus tidak seharusnya untuk mengembangkan hasil semata-mata sebaliknya menghasilkan lebih banyak tanaman di kawasan tanah sama kerana kos tinggi dan isu alam sekitar.

BACA Elak jadi tempat longgokan, Kerajaan henti ambil pekerja asing

Untuk itu, kata beliau, ia sekali lagi berkait rapat dengan keperluan tenaga buruh asing kerana 84% tenaga kerja perladangan dalam negara adalah terdiri daripada warga asing.

“Selama ini, industri ini dapat bertahan kerana kita tahu adanya tenaga kerja. Jika penduduk tempatan tidak mahu bekerja, tidak mengapa kerana kita ada pekerja asing.

“Akhirnya kita ini terlalu bergantung kepada pekerja asing apabila melihat kepada industri perladangan termasuk ladang kelapa sawit,” katanya.

Justeru Mohd. Nageeb menyarankan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Khairy Jamaluddin selaku Menteri) dilibatkan untuk membantu industri ke arah automasi khususnya penuaian buah kelapa sawit.

Kata Mohd. Nageeb, ia amat penting untuk meningkatkan kecekapan dan hasil yang akan membolehkan Malaysia mengekalkan daya saing.

Mohd. Nageeb turut meminta Putrajaya mengkaji struktur cukai bagi industri itu  yang pada pandangan beliau, ia ketinggalan dan mempunyai kekurangan kerana mereka yang mengalami kerugian, masih perlu membayar cukai.

Beliau berkata, sektor perladangan membayar cukai paling tinggi kepada Putrajaya termasuk korporat, durian runtuh, cukai pintu dan lain-lain levi yang memberi kesan pada keuntungan industri.

Mohd. Nageeb berkata, industri perladangan itu mempunyai sekitar 1 juta pekebun kecil yang sumber pendapatan mereka adalah dalam industri itu.

“Masalah yang besar boleh timbul sekiranya perkara ini tidak ditangani,” kata Mohd. Nageeb. – SM

(Visited 404 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button