Politik

Takdir Allah mempertautkan Bersatu dan UMNO – Muhyiddin

TAKDIR Allah yang telah mempertautkan hubungan antara perti Bersatu dan UMNO yang sebelum ini bermusuhan antara satu sama lain.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, adalah merupakan satu hakikat yang akan terpahat dalam lipatan sejarah bahawa Bersatu dan UMNO pernah menjadi seteru politik.

Namun krisis politik yang berlaku pada awal tahun ini telah meletakkan kedua-dua parti yang mewakili Melayu dan Islam itu dalam satu kerjasama.

“Tetapi takdir Allah mempertautkan Bersatu dan UMNO. Krisis politik yang berlaku pada awal tahun ini tidak semena-mena meletakkan kedua parti ini dalam satu saf politik yang sama.

“Daripada seteru politik dalam Pakatan Harapan (PH), kita menjadi rakan sekutu dalam kerajaan Pakatan Nasional (PN),” kata Muhyiddin dalam Perhimpunan Agung Parti Bersatu yang diadakan secara maya, hari ini.

Walaupun ada pihak yang mungkin tidak selesa dengan jalinan hubungan itu, Muhyiddin tetap mengajak perwakilan Bersatu untuk bersama-sama berfikir makna di sebalik jalinan hubungan antara parti itu bersama UMNO dan Pas.

“Cuba kita renungkan. Fikir dalam-dalam. Adakah takdir Allah yang mempertautkan Bersatu dan UMNO, termasuk juga Pas dalam satu saf politik ini berlaku begitu sahaja tanpa ada apa-apa hikmah di sebaliknya?

“Tidakkah kita terfikir bahawa Allah sebenarnya sedang menguji kita? Sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya sedang diuji oleh Allah. Baik dalam keadaan kita mempunyai kuasa pemerintahan atau sebaliknya, Allah menguji kita,” ujarnya.

Muhyiddin percaya kemelut politik yang dihadapi oleh orang Melayu dan Islam ketika ini adalah satu ujian dan ada kebaikan di sebalik cabaran yang sedang dihadapi.

Justeru katanya, ketika ini terbentang luas peluang untuk mempersatukan umat Melayu dan Islam di Malaysia yang telah mengalami perpecahan politik sejak sekian lama.

“Namun, sedarlah, krisis politik yang berlaku di negara kita pada awal tahun ini telah mempertautkan pimpinan politik Melayu dalam Bersatu, UMNO dan Pas dalam satu saf politik yang sama.

“Pada saya, pertautan ini adalah satu langkah awal untuk mewujudkan penyatuan ummah yang lebih besar. Justeru, saya ingin mengingatkan diri saya dan mengajak semua perwakilan supaya melihat maslahah yang lebih besar, kepentingan yang lebih utama.

“Alangkah baiknya jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah-belah dalam kabilah kecil yang melemahkan kita,” katanya.

Muhyiddin percaya sudah sampai masanya untuk semua pemimpin Melayu mengetepikan perbezaan politik dan bangkit mempertautkan hubungan silaturrahim dalam semangat ukhuwwah dan mahabbah demi maslahah yang lebih besar iaitu penyatuan umat Melayu di negara ini.

Beliau percaya penyatuan umat Melayu akan mewujudkan kestabilan politik di negara ini yang pastinya akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat.

Menurut Muhyiddin, beliau berterus terang mengenai hubungan Bersatu dan UMNO bagi memadamkan persepsi orang ramai terutama ahli dan penyokong mengenai hubungan kedua parti tersebut.

Muhyiddin berkata, sebelum ini ada pihak yang menasihatkan beliau untuk tidak menyentuh mengenai hubungan kedua-dua parti yang dikatakan agak hambar, tidak mesra dan tidak akrab serta belum ada keserasian.

“Tetapi, hari ini adalah hari Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. Semua perwakilan berhak tahu apa situasi politik yang sedang kita hadapi pada masa ini dan apa hala tuju parti kita di masa hadapan.

“Maklumlah, sebahagian dalam Bersatu termasuk saya sendiri dahulunya dari UMNO juga. Kemudian ada rakan yang lain dari UMNO menyertai Bersatu,” katanya.-SM

(Visited 310 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button