Nasional

UPSI Laksana Transformasi Pusat Sumber Untuk Anak-anak KEMAS Pasir Salak

Perak Tengah – Menyedari pentingnya memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dengan kepelbagaian bahan bacaan, Perpustakaan Tuanku Bainun ( PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turun padang melakukan transformasi Pusat Sumber KEMAS Kampung Pasir Salak di daerah ini.

Menurut Setiausaha Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, transformasi itu memberi fokus kepada penyediaan ruang yang lebih kondusif dengan penambahan sebanyak 300 buah naskah buku terkini bernilai RM4500 yang diperoleh daripada agensi luar seperti Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta syarikat penerbitan Karangkraf.

“Selain buku-buku bacaan umum dan bacaan bergambar, ruang bacaan telah disusun hias dengan dekorasi menarik dan pelbagai rona warna perabot bagi menarik penyertaan anak-anak muda berkunjung ke pusat sumber sekaligus mewujudkan suasana seronok kepada mereka,” jelasnya ketika merasmikan program transformasi Pusat Sumber KEMAS Kampung Pasir Salak.

Shaharuddin turut menyampaikan sumbangan berupa sebuah komputer riba dan mesin pencetak semasa majlis perasmian.

Shaharuddin ( dua dari kanan) menyerahkan laptop kepada wakil penerima Pusat Sumber KEMAS sambil disaksikan Norkhalid (kanan sekali)

Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni)UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, inisiatif penyerahan buku-buku seperti buku-buku dilaksanakan bagi menyokong program outreach Pasir Salak sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung pada 1 hingga 3 Julai di daerah tersebut.

Para sukarelawan bergambar selepas transformasi Pusat Sumber KEMAS

“Selain transformasi pusat sumber KEMAS, seramai 22 sukarelawan ResQ Team UPSI terdiri daripada mahasiswa dan staf pelbagai fakulti serta pusat tanggungjawab turut menyumbang tenaga dengan membantu masyarakat sekitar kampung membersihkan kawasan menerusi Program Gotong Royong UPSI B40,” katanya.

“Menerusi inisiatif yang digerakkan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), sukarelawan UPSI turut melakukan transformasi dengan melukis mural dinding pusat sumber,” jelasnya lanjut.

Sementara itu menurut Norkhalid lagi, sebagai universiti yang cakna dengan keperluan masyarakat setempat, Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) turut menganjurkan Kelas Bahasa Isyarat kepada orang ramai.

Kelas bahasa isyarat turut dibuka untuk orang ramai

“Menariknya kelas asas bahasa isyarat yang berlangsung selama separuh hari ini disampaikan sendiri oleh Pengarah Akademik, Prof Madya Dr. Abdul Rahim Razalli dan mendapat penyertaan menggalakkan daripada guru-guru pendidikan khas dari beberapa buah sekolah daerah ini,” jelasnya lanjut.

Terdahulu, UPSI turut menyertai slot pentas mini IKS Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia menerusi program forum oleh panel akademik Keluarga Malaysia@UPSI dan sesi perkongsian keusahawanan Meet and Greet “Taikun Muda” pada 1 Julai lalu.

“Besok, Fakulti Teknikal Vokasional UPSI akan mengadakan demo pembuatan pau selain persembahan kebudayaan oleh artis-artis Pusat Kebudayaan serta Fakulti Muzik dan Seni Persembahan,

” Selain itu majlis serahan bantuan laptop daripada Perdana Menteri kepada pelajar B40 UPSI yang menetap di daerah ini,” tambahnya.

(Visited 666 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button