Nasionalpilihan

Teruja laksana ibadah korban setiap tahun

Seorang ahli perniagaan, Mohd. Razmin Roslan, 34, benar-benar teruja dapat melaksanakan ibadah korban setiap tahun sejak 2014.

Dia bersama isterinya melakukan ibadah tersebut bersama peserta lain selepas solat Aidiladha di Masjid Lama Batang Tiga, Klebang di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun bukan menjadi kewajipan namun dia rasa terpanggil untuk melaksanakan ibadah itu yang masuk tahun kesembilan tahun ini.

Mohd. Razmin Roslan.

“Sejak 2014 saya sudah melaksanakan ibadah korban dan berterusan setiap tahun.

“Saya rasa sudah menjadi lumrah dan keinginan untuk melaksanakan ibadah korban tidak pernah padam setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha.

“Kebiasaannya saya menyertai korban berkelompok untuk satu bahagian namun tahun ini saya dan isteri menyertainya untuk dua bahagian,” ujarnya ketika ditemui pada Program Ibadah Korban Berkelompok di perkarangan Masjid Lama Batang Tiga baru-baru ini.

Sebanyak lapan ekor lembu ditumbangkan untuk program tersebut anjuran bersama Pertubuhan Prihatin Anak Melaka (PPAM) dan Masjid Lama Batang Tiga.

Mengulas lanjut Mohd. Razmin yang menjalankan perniagaan sendiri
berkata, semua daging korban diserahkan kepada pihak masjid untuk
diagih-agihkan kepada penduduk setempat.

Katanya, dulu dia tidak mampu untuk melaksanakan ibadah korban kerana tidak ada pekerjaan tetap.

“Saya memasang niat jika nasib saya berubah lebih baik saya akan
melaksanakan ibadah korban setiap tahun dan daging diberikan kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Ani Rozalina Ahmad.

Seorang lagi peserta, Ani Rozalina Ahmad, 50, berkata, dia melahirkan
rasa syukur dapat melaksanakan ibadah korban seekor lembu bersama ibu serta sanak saudaranya.

“Saya teruja dan gembira kerana akhirnya hasrat untuk melakukan ibadah itu dapat dicapai tahun ini,” katanya. – SM

(Visited 101 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button