Nasional

Malaysia bantah sekeras-kerasnya provokatif, fitnah Islam

KEBEBASAN bersuara tidak sepatutnya digunakan untuk melontarkan tuduhan, fitnah dan provokatif terutama terhadap Islam termasuklah menerbitkan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW.

Tindakan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan bersifat populis dan sengaja menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Justeru, Malaysia menerusi Kementerian Luar membantah tindakan sedemikian kerana selain bersifat provokatif, ia juga tidak menghormati dasar komuniti antarabangsa.

“Malaysia amat memandang serius dan mengambil berat permusuhan terbuka yang semakin berleluasa terhadap Islam.

“Secara prinsipnya Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan retorik dan provokatif yang menfitnah agama Islam.

“Sebagaimana yang dapat disaksikan dunia baru-baru ini menerusi ucapan populis serta penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW.”

Demikian kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataannya malam tadi berhubung kecaman terhadap satu tindakan provokatif.

Terdahulu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron membuat provokatif terhadap Islam ketika berucap pada 2 Oktober di Paris ketika mengulas insiden serangan terhadap seorang guru yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Susulan itu, Macron menyifatkan Islam sebagai agama yang menyebabkan perpecahan dan mempunyai krisis di seluruh dunia selain menuduh agama itu sebagai radikal.

Oleh demikian, ucapan beliau juga disifatkan sebagai ekstremisme kerana menimbulkan isu Islamofobia dan anti-Muslim di negaranya.

Tindakan tersebut juga turut menerima kecaman daripada Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan yang menyifatkan Macron sebagai pemimpin mempunyai masalah mental.

Malah, akibat ucapan tersebut juga, penduduk di negara seperti Turki, Pakistan dan negara di Timur Tengah melancarkan kempen memboikot produk dari Perancis dengan menggunakan tanda pagar #boycottfranceproducts.

Dalam pada itu, Hishammuddin menambah, tindakan mengaitkan Islam dengan keganasan dan mencemar serta mengecam Nabi Muhammad SAW adalah melampaui batas.

“Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara serta hak asasi manusia selagi mana ia digunakan secara bertanggungjawab dan penuh hormat sekaligus tidak menafikan serta melanggar hak pihak lain.

“Tindakan tersebut bersifat provokatif dan tidak menghormati agama Islam serta lebih dua bilion penganutnya di seluruh dunia,” tegasnya.

Kata Hishammuddin, Malaysia menzahirkan pendirian sebagai negara Islam yang demokratik dan sederhana dengan masyarakat yang berbilang etnik serta agama.

Justeru, beliau menyatakan akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa demi meningkatkan amalan saling menghormati antara setiap agama dan mencegah ekstremisme. – SM

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button