Jenayah

Tekong darat bawa lari PATI di Pasir Puteh

BAGI MENGELAK tahanan pihak berkuasa, seorang tekong darat nekad memecut kenderaan dipandu yang membawa 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) merentasi tiga daerah.

Menurut laporan berita daripada Berita Harian, suspek yang juga lelaki tempatan itu memecut Proton Exora dipandunya kira-kira dua jam setengah ketika dikejar kereta peronda polis selepas dikesan mencurigakan di Jalan Lemal di Pasir Mas, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, kenderaan itu pada mulanya dikejar kereta peronda polis Pasir Mas yang curiga kerana dipandu secara berbahaya dan melulu kira-kira jam 5 pagi.

“Anggota mengekori dan memberi isyarat supaya memberhentikan kenderaan, namun pemandunya terus memecut di Jalan Salor menuju Kota Bharu.

“Peronda polis terus mengejar Proton Exora terbabit sehingga memasuki Machang, sebelum berjaya memberhentikan kenderaan itu di bahu jalan di kawasan ladang FELCRA Kampung Teratak Batu, di sini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, selepas kenderaan itu berhenti pemandu dan semua penumpang melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Kesemua mereka yang melarikan diri bagaimanapun tidak bertahan lama apabila polis berjaya mengesan menahan mereka dengan bantuan unit anjing pengesan antara jam 8 pagi hingga 1 petang, jelasnya.

Selain pemandu yang juga warga tempatan, terdapat 10 PATI warga Myanmar termasuk dua wanita berusia antara 15 hingga 53 tahun di dalam kenderaan terbabit.

“Hasil ujian air kencing dilakukan mendapati warga tempatan terbabit positif dadah dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk siasatan lanjut.

“kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959, manakala lelaki tempatan terbabit disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007” katanya. – Berita Harian – SM

(Visited 385 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button