Hiburan

Teater Muzikal Ali Baba 2022 di Melaka Mac ini

MELAKA 25 Feb. – Teater Muzikal Ali Baba 2022 yang akan dipentaskan di Panggung Seri Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka Mac ini bakal setanding dengan pementasan teater yang sama di Istana Budaya, pada Disember 2012.

Pengarah teater tersebut, Lokman Ghani berkata, biarpun menampilkan hanya empat pelakon popular berbanding teater yang sama sepuluh tahun lalu menggandingkan ramai bintang tersohor namun pementasan kali ini dikatakan lebih bertenaga dan cukup mencabar.

Menurutnya, teater yang akan berlangsung dari 18 hingga 20 Mac ini sekadar menggandingkan pelakon berpengalaman, Datuk Jalaluddin Hassan; Ashraf Muslim, pelakon dan pengarah, Aziz M. Osman dan Najua P.Ramlee.

“Barisan kali ini adalah 70 peratus pelakon dari Melaka dan ini keunikannya dengan nafas baharu diberikan tidak sama dengan Teater Muzikal Ali Baba di Istana Budaya, sepuluh tahun lalu.

“Walaupun sebahagian besar daripada mereka yang dipilih daripada uji bakat tahun lalu dan mereka tiada pengalaman berlakon teater tetapi saya berjaya bentuk mereka sejak Disember tahun lalu.

“Lebih menarik teater Muzikal Ali Baba 2022 ini akan menampilkan loghat dan dialek cakap orang Melaka seperti hawau, dak dan sebagainya sesuai ia diadakan di negeri ini,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis sidang akhbar pementasan Muzikal Ali Baba 2022 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis serta beberapa pelakon seperti Ashraf dan Najua.

Lokman berkata, seramai 130 orang akan terlibat dalam pementasan teater yang dihidupkan semula di negeri ini selepas sepi tanpa sebarang aktiviti selepas dua tahun ekoran penularan pandemik Covid-19.

Teater tersebut katanya, adalah daripada adaptasi Hikayat Seribu Satu Malam dan diolah daripada filem Tan Sri P.Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok yang diterbitkan di Singapura pada 1961.

Menurutnya, pihaknya menghadkan kepada 200 orang bagi menyaksikan teater tersebut pada setiap sesi dengan tiket yang ditawarkan ialah RM10.- SM

(Visited 522 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button