Nasional

Remaja akan divaksin selepas 80% dewasa terima dos kedua

GOLONGAN remaja akan diberikan vaksin setelah  80 peratus populasi orang dewasa di negara ini suidah menerima dua dos vaksin Covid-19.

Memberitahu keputusan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia akan dilaksanakan dengan syarat jumlah bekalan vaksin mencukupi.

“Sarawak mula memberi vaksin kepada golongan remaja pada minggu ini kerana mereka mencapai 80 peratus populasi orang dewasa divaksin.

“Apa yang kita sarankan adalah apabila kita mempunyai bekalan mencukupi dan negara mencapai 80 peratus populasi orang dewasa yang divaksin, kami akan mengesyorkan vaksinasi untuk remaja.

“Fokus kita adalah kepada yang berisiko tinggi. Kita juga mengemas kini garis panduan klinikal dan mereka yang berumur 16 hingga 17 tahun akan diutamakan terlebih dulu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di Kota Kinabalu hari ini.

Mengenai kes kematian dibawa hospital atau ‘brought in dead’ (BID), beliau menjelaskan majoriti daripadanya didapati tidak menjalani ujian saringan dan disebabkan itu, mereka tidak berada di bawah pemantauan fasiliti kesihatan.

“Kalau kita melihat masalah BID ini, sebahagian besar yang berlaku di negara kita adalah dalam kalangan mereka yang tidak berada di bawah jagaan Kementerian Kesihatan.

“Maka, kita mahu pastikan mereka yang tidak berada di bawah jagaan fasiliti kesihatan, pejabat kesihatan daerah atau klinik swasta, mesti mendapat rujukan ataupun diletakkan di bawah jagaan kita.

“Jika mereka menjalani kuarantin di rumah, sekurang-kurangnya pemantauan dibuat dan memuat naik laporan kendiri status kesihatan mereka. Jika mereka didapati menunjukkan gejala, kita boleh melakukan intervensi,” katanya.

(Visited 87 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button