Nasionalpilihan

Taktik restoran mamak pindah minyak peket ke botol 5kg dibongkar

Taktik sebuah restoran mamak di Semabok menggunakan minyak masak peket bersubsidi dengan modus opperandi baharu berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka hari ini.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, dalam serbuan oleh penguatkuasa KPDN pagi tadi di asrama pekerja restoran berkenaan menemui 20 kotak mengandungi 340 peket minyak masak bersubsidi yang kemudiannya dipindahkan menggunakan corong ke dalam botol 5 kilogram (kg).

Menurutnya, hasil siasatan mendapati itu adalah taktik baharu pemilik restoran mamak cuba mengelak daripada dikesan pihak KPDN mereka menggunakan minyak masak peket yang sepatutnya digunakan oleh isi rumah.

Beliau berkata, selain minyak masak, serbuan turut menemui tepung gandum sebanyak 377 kg yang disimpan di asrama berkenaan dan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDN menerima aduan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem mengenai pelbagai kesalahan dilakukan di restoran berkenaan lewat malam tadi.

“Siasatan awal kita mulanya mendapati restoran ini tidak mempamerkan tanda harga pada menu makanan dan melakukan kesalahan di bawah Akta 2011.

“Tetapi apabila disoal siasat seorang pekerja mengakui menyimpan minyak masak peket bersubsidi di asrama pekerja,” katanya kepada pemberita yang turut dihadiri Mohd. Noor Helmy di sini hari ini.

Mengulas lanjut Norena berkata, bertindak itu anggota KPDN memasuki asrama berkenaan berjaya menemui 20 kotak minyak peket bersubsidi bersama dua botol 5kg dan sebuah corong.

Beliau berkata, disyaki pekerja restoran itu telah memindahkan minyak masak berkenaan menggunakan corong ke dalam beberapa botol 5kg pelbagai jenama.

“Hasil siasatan juga mendapati restoran berkenaan membuat satu penipuan apabila menggunakan minyak masak yang telah dipindahkan di restoran berkenaan,” ujarnya.

Jelasnya, taktik restoran itu telah digunakan sejak empat bulan lalu dan pemilik restoran berkenaan dikenakan kompaun RM200 atas kesalahan tidak meletakkan tanda harga dan kertas siasatan dibuka kerana menyimpan barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Ujarnya, pembekal disyaki adalah dari negeri ini dan lesen mereka boleh dibatalkan jika terbukti melakukan kesalahan tersebut.

Sementara itu Mohd. Noor Helmy berkata, beliau menerima aduan tersebut daripada orang ramai sewaktu mengadakan Jamuan Mega Raya Duyong Kita 2024 di Taman Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit, malam tadi.

“Sejurus menerima banyak aduan tersebut kerana pelanggaran banyak peraturan dan saya telah memanjangkannya kepada KPDN untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – SM

(Visited 32 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button