Nasionalpilihan

Kerajaan terima RM1.8 bilion penyelesaian untuk hutang 1MDB

Kerajaan telah menerima RM1.8 bilion daripada AMMB Holdings Berhad yang telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pendepositan ini adalah bayaran pertama yang dibuat oleh bank tersebut bagi penyelesaian berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Baki bayaran penyelesaian sebanyak RM1.03 bilion lagi akan dilunaskan oleh AMMB Holdings Berhad pada Disember 2021 dan Julai 2022, masing-masing sebanyak RM515 juta.

“Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – telah menerima sebanyak RM18.176 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

“Dana tersebut telah/akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan LAKSANA ke-60 yang disiarkan menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan juga telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.8 bilion hutang SRC.

Jelasnya, setakat 30 Jun 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/keuntungan/faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.66 bilion (1MDB) dan RM1.85 bilion (SRC).

“Namun, baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.

“Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, Kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut disokong oleh Kerajaan melalui Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) dan Surat Sokongan (Letter of Support) semasa hutang-hutang ini diterbitkan,” katanya.

Tambahnya, usaha berterusan untuk mendapatkan kembali aset-aset 1MDB sememangnya menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menunaikan tanggungan obligasi pembayaran balik hutang-hutang 1MDB. -SM

(Visited 95 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button