Nasionalpilihan

Laporan penuh tanah runtuh Batang Kali belum dapat dibentangkan kepada Jemaah Menteri

Kementerian Kerjaya Raya belum dapat membentangkan laporan penuh kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor Disember lalu kepada Jemaah Menteri kerana masih belum mendapat ulasan dan pandangan daripada agensi lain yang terlibat.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan laporan penuh berhubung kejadian pada 16 Disember tahun lalu yang meragut 31 nyawa.

Menurutnya, pihak kementerian masih menunggu laporan ulasan dan pandangan daripada agensi terlibat sebelum ia dapat dibentangkan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin.

“Tidak ada masa yang tepat untuk menghantar laporan penuh kepada Jemaah Menteri selagi ulasan dan pandangan daripada agensi lain yang terlibat tidak diterima.

“Kita sudah majukan (laporan) kepada agensi terbabit untuk segera memberi ulasan dan pandangan secepat mungkin sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri nanti.

“Selain itu juga kita menunggu laporan daripada kerajaan negeri Selangor kerana jalan Batang Kali adalah kategori jalan negeri,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) JKR 2023 di sebuah hotel di Bandar Hilir di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita bila laporan penuh insiden tanah runtuh itu akan dibentangkan kepada Jemaah menteri.

Mengulas lanjut Alexander berkata, pihaknya tidak menetapkan satu tempoh tertentu sebelum laporan penuh berhubung kejadian pada 16 Disember tahun lalu dibentangkan kerana ia bergantung kepada ulasan dan pandangan agensi lain yang terlibat.

Pada 19 Januari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata laporan penuh mengenai kejadian itu sudah dibentangkan kepada Kabinet.

Katanya, laporan awal itu disediakan oleh Jabatan Mineral dan Goesains (JMG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Tragedi pada kira-kira jam 2.30 pagi 16 Disember itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 31 terkorban, manakala 61 terselamat ketika semua mangsa berada di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali. – SM

(Visited 39 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button