Nasional

Cederakan bekas kekasih, AGC tolak representasi Rizal Ghazali gugurkan pertuduhan

Mahkamah Majistret Petaling Jaya diberihatu oleh pihak pendakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan pemain pertahanan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali untuk menggugurkan dua pertuduhan merosakkan telefon bimbit dan mencederakan bekas kekasihnya di sebuah hotel, pada Jun tahun lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal ketika sebutan kes di hadapan Majistret, Zhafran Rahim Hamzah, berkata, susulan perkembangan tersebut, arahan yang diterima ialah meneruskan pertuduhan terhadap pemain itu.
“Penyata saksi pengadu akan diserahkan kepada pihak pembelaan tertuduh maka saya mohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk perbicaraan.
“Ini kerana, tertuduh tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibuat sebelum ini,” katanya.
Zhafran berkata, disebabkan representasi ditolak, maka mahkamah menetap 1 Julai depan untuk perbicaraan.
Sementara itu, peguam, Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof yang mewakili bekas pemain skuad Harimau Malaya tidak membantah tarikh prosiding berkenaan.
Pada 19 Jun tahun lalu, Rizal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan merosakkan telefon bimbit dan mencederakan ketika itu sebagai kekasih di sebuah hotel, awal bulan itu.
Dia yang juga bekas pemain bola sepak Kebangsaan, didakwa memukul Hani Farhana Hasrul Sani, 38, dan melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit mangsa sama, mencecah kerugian dianggarkan RM4,500 di sebuah bilik hotel, pada pukul 6 pagi, 7 Jun tahun sama.
Rizal didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara kes merosakkan telefon, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
(Visited 6 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button