Politik

Masalah dalaman, antara parti perkara terakhir rakyat mahu terjebak

Masalah dalaman parti dan antara parti politik adalah perkara terakhir rakyat mahu terjebak atau terheret ketika ini.

Hakikatnya pandemik Covid-19, perlaksanaan darurat dan musibah banjir buruk yang menimpa beberapa buah negeri telah memberi kesan besar terhadap kehidupan rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pada waktu ini kehidupan rakyat makin susah. Mereka resah dan gelisah memikirkan kelangsungan hidup akibat musibah yang berlaku.

Tekanan yang dihadapi oleh rakyat semakin merunjing disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

“Rakyat terpaksa menghadapinya tanpa moratorium automatik, tanpa bantuan tunai yang besar, tanpa insentif gaji pekerja dan ditambah dengan bencana alam di beberapa negeri. Semua ini akan memberi kesan kepada moral dan keyakinan rakyat dalam menghitung hari-hari mendatang.


“Di tengah-tengah krisis pandemik dan keperitan rakyat ini, sudah tentu polemik politik, sama ada dalaman parti dan antara parti adalah perkara terakhir yang rakyat mahu terjebak atau terheret,” kata Asyraf Wajdi.

Beliau meminta semua pihak untuk mengetepikan segera hiruk-pikuk politik dan berpolemik mengenai kuasa dan kedudukan.

Sebaliknya mereka perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada isu-isu membela rakyat dan membantu masyarakat yang benar-benar susah dan gelisah ketika ini.

Pergerakan Pemuda UMNO berpendirian, UMNO harus kembali kepada landasan yang asal dengan menjadikan mantra ‘tradisi membela rakyat’ sebagai teras perjuangan ketika ini.

Tegas beliau, kepimpinan UMNO sama ada di dalam mahupun di luar pentadbiran kerajaan perlu berusaha menuntut bagi pihak rakyat perkara-perkara yang menyentuh kebajikan mereka.

Antaranya termasuk isu mempermudahkan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja tanpa syarat atau kriteria dan lanjutan moratorium tanpa syarat dan tidak dikenakan penalti atau caj tambahan.

Ketika ini parti politik di Malaysia masih lagi tidak stabil. Di pihak UMNO terdapat gesaan agar Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi laluan kepada pemimpin lain untuk mengambil alih jawatan tersebut.

Di pihak Pakatan Harapan, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Anwar Ibrahim telah meminta semua ahli Parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meminta perisytiharaan darurat dibatalkan.-SM

(Visited 100 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button