AgamaNasionalNegeri

MAIPs naiktaraf portal bayaran Julai depan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan menaiktaraf laman portal rasminya bagi perkhidmatan bayaran secara dalam talian menjelang mulai Julai ini.

Ini selaras dalam usaha ke arah mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan dalam talian yang dilaksanakan oleh MAIPs selama ini.

Demikian seperti yang diperkenankan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menerima sembah mengadap Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa ICT dan Pendigitalan MAIPs sempena Program Hijrah Minda Bilangan ke 10 Bagi Tahun 2023 di Masjid Nurul Mukminin Alor Ara, Kubang Gajah, Arau.

Keberangkatan Baginda selaku Yang DiPertua MAIPs disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa ICT dan Pendigitalan MAIPs, Azlan Hussain dan Timbalannya, Tengku Farith Rithauddeen Tengku Ahmad Rithauddeen.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor mempersembah maklumkan kepada Baginda bahawa MAIPs sedang membangunkan Pelan Transformasi Digital MAIPs 2023-2027 selari dengan Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs 2.0 yang antara lain memberikan penekanan kepada menjayakan hasrat pengukuhan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh MAIPs.

“Justeru adalah diharapkan naiktaraf portal bayaran yang akan dilaksanakan ini dapat mempermudahkan para penyumbang sama ada sumbangan zakat, wakaf, sedekah atau lain-lain sumbangan kepada MAIPs melalui perkhidmatan digital yang mampan,” tambah beliau.

Untuk rekod, MAIPs telah mengorak langkah memperkenalkan bayaran dalam talian melalui portal rasmi MAIPs yang boleh diakses di pautan www.maips.gov.my.

Sempena program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyerahkan zakat MAIPs kepada 20 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan.

Masing-masing menerima RM400 seorang dengan jumlah penuh disumbangkan oleh MAIPs bernilai RM8,000 pada kali ini. – SM

(Visited 194 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button