Nasional

Penduduk mohon dirikan tembok di tebing Sungai Golok, elak banjir buruk

BEBERAPA penduduk sekitar Rantau Panjang menyuarakan rasa bimbang dengan pembinaan tembok simen di tebing Sungai Golok sebelah Thailand di sempadan Malaysia-Thailand dekat sini, yang didakwa mereka mengakibatkan pekan Rantau Panjang mudah digenangi air.

Mereka mendakwa sejak wujudnya tembok di sebelah negara jiran itu, baru-baru ini air sungai menerjah lebih kuat ke sempadan negara sebelah sini sehingga menyebabkan limpahan air Sungai Golok masuk ke sekitar pekan dengan lebih pantas.

Seorang peniaga di pekan Rantau Panjang, Wan Namat Wan Muhamad, 54, berkata, dia berharap ada perancangan daripada pihak kerajaan Persekutuan untuk segera menangani perkara itu.

Beliau berkata ketiadaan benteng atau tembok di sepanjang sungai di sebelah negara ini lambat laun akan menyebabkan hakisan di bahagian tebing, sekaligus memburukkan lagi masalah.

“Apa yang saya lihat, pembinaan tembok setinggi hampir dua meter di sebelah negara jiran sebenarnya lebih kepada isu keselamatan, namun ia juga berfungsi sebagai penahan air pada musim banjir.

“Di sebelah negara kita tebing di sini lebih tinggi daripada tebing di sana namun dengan adanya tembok di sana, apabila musim banjir air, daripada Sungai Golok akan masuk lebih banyak ke sini,” katanya ketika ditemui dekat Pangkalan Gergaji, di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Rohana Hussin, 53, pula berkata kesan banjir baru-baru ini agak berlainan kerana arusnya yang kuat dan deras.

Katanya bahagian dapur rumahnya begitu cepat dinaiki air, dan selepas air surut sedikit semalam dia mendapati lima batang tiang rumahnya tercabut.

“Saya berharap pihak berkaitan melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah yang sekian lama dialami. Sekiranya tiada benteng di sebelah sini, kemungkinan rumah kediaman saya yang kini sudah condong akan runtuh akibat hakisan,” katanya.

Kamaruddin Mustafa, 52, pula berkata meskipun tembok yang dibina di negara jiran yang dianggarkan sepanjang 13 kilometer itu belum siap sepenuhnya namun kesannya sudah dapat dirasai ketika banjir, baru-baru ini.

Katanya pembinaan tembok di sebelah negara ini perlu juga dilakukan kerana air banjir yang masuk ke pekan Rantau Panjang adakalanya lambat untuk surut di kawasan yang rendah.

“Apa yang penting kerosakan akibat banjir kepada peniaga di pekan Rantau Panjang bakal berkurangan sekiranya dibina tembok berbanding keadaan sekarang,” katanya.
— BERNAMA

(Visited 299 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button