NasionalParlimen

Projek ECRL lancar

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer (km) adalah projek rel yang akan menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, pembinaan projek ECRL ini dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Temerloh dan Seksyen C dari Temerloh ke Pelabuhan Klang.

“Sehingga bulan lepas, pembinaan keseluruhan projek ini telah mencapai kemajuan 31.48%,” katanya.

Ka Siong berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan tentang status projek ECRL, HSR, Pan-Borneo, MRT dan lebuh raya baharu di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Ka Siong lagi, penyiapan projek itu nanti akan menjimatkan masa perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur selama 4 jam sahaja berbanding 7 sehingga 8 jam perjalanan pada ketika ini.


“Bagi projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) pula, cadangan asal pembinaan HSR Kuala Lumpur ke Singapura telah dibatalkan pada 1 Januari 2021 lalu.

“Pada 29 November 2021, Perdana Menteri telah mengadakan lawatan dan berbincang dengan Perdana Menteri Singapura.

“Kedua-dua Perdana Menteri mencadangkan agar model baharu projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dibincangkan semula dan diserahkan semula kepada kedua-dua Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura,” jelas beliau.

Beliau berkata, pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Thailand.

Katanya, pertemuan itu memperlihatkan Perdana Menteri mencadangkan HSR Malaysia disambung dari Kuala Lumpur ke Bangkok.

“Lanjutan daripada itu, saya dan Menteri Pengangkutan Thailand pada 17 Mei 2022 telah bersetuju agar satu jawatankuasa khas bersama di antara Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Thailand yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha MOT dan Thailand, bagi membincangkan mengenai perancangan, jajaran dan aspek teknikal lain berkaitan cadangan projek HSR Kuala Lumpur-Bangkok,” ujar beliau.

Sebagai sebuah projek mega yang strategik, kata Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam (BN), Kementerian Pengangkutan perlu melihat cadangan pembangunan projek ini pada skala yang lebih besar iaitu ketersambungan kepada tanah besar ASEAN.

Sementara itu, Projek MRT2 ataupun MRT Laluan Putrajaya menghubungkan Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya sejauh 56.4 km, terdiri daripada 36 stesen dan 4 stesen provisional.

Projek ini kata Ka Siong, telah dimulakan pada Oktober 2015 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2023.

“Fasa 1 MRT Laluan Putrajaya sepanjang 17.5km iaitu dari Stesen Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah memulakan operasi pada 16 Jun 2022.

“Jajaran Fasa 1 ini yang melibatkan 12 buah stesen sedang memberikan perkhidmatan kepada kawasan-kawasan yang berkepadatan tinggi seperti Sungai Buloh, Damansara Damai dan Sri Damansara di Petaling Jaya, serta Kepong, Jinjang dan Kampung Batu di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, sehingga Jun 2022, projek MRT2 telah mencatatkan kemajuan keseluruhan sebanyak 98.4% dan dijangka akan mula beroperasi dalam Januari 2023.

Ka Siong turut memaklumkan, bagi projek MRT3 ataupun MRT Laluan Lingkaran pula, jajaran dicadangkan adalah 51km termasuk 2 depoh dan 33 stesen (termasuk 2 stesen sementara) di mana 10 daripadanya adalah stesen pertukaran yang menyambungkan MRT3 dengan stesen-stesen sedia ada termasuk KTM, LRT, Monorail, MRT Laluan Kajang dan MRT Laluan Putrajaya.

“Sepanjang 12km daripada jajaran MRT3 adalah jajaran bawah tanah manakala 39km lagi merupakan jajaran bertingkat.

“Pembinaan projek MRT3 akan melibatkan lima (5) pakej kerja, yang terdiri daripada satu (1) Perundingan Pengurusan Projek (PMC), tiga (3) civil works (CMC) dan satu (1) pakej system works.

“Pada masa ini, MRT Corp dalam proses melantik perunding pengurusan projek (PMC) serta tiga (3) kontraktor bagi pakej civil works (CMC),” katanya.

Tambah beliau, tender bagi pakej system works akan dibuka kelak.

Semua usaha meningkatkan ketersambungan MRT akan memberi pilihan pengangkutan awam yang berkualiti kepada rakyat, katanya. – SM

(Visited 31 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button