Banjir

Sukarelawan USIM jaya bantuan pasca banjir di Kemaman

Sukarelawan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berada di Kemaman, Terengganu sejak semalam, Jumaat untuk menghulurkan bantuan pasca banjiir di beberapa kawasan yang terjejas di sana. Kumpulan pertama 47 orang sukarelawan yang terdiri daripada 39 orang pelajar dan lapan kakitangan terlibat sebagai kumpulan pertama Misi USIM Prihatin akan berada di Kemaman sehingga esok.

Daerah Kemaman merupakan antara kawasan yang terjejas banjir baru-baru ini dengan beberapa kampung terjejas teruk. Sukarelawan USIM menumpukan misi bantuan pasca banjir di Kampung Air Puteh dengan menghulurkan bantuan pencucian kediaman penduduk kampung yang terjejas dan pembersihan di Sekolah Kebangsaan Air Puteh dan Masjid Kampung Air Puteh. Selain itu turut dilaksanakan adalah agihan sumbangan barangan asas seperti makanan, keperluan bayi, ubat-ubatan, tilam dan bantal.

Menurut Umairatul Izzah Md Ariff Maricar, 24, penuntut Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah yang mengetuai kumpulan sukarelawan pelajar dalam misi ini, sambutan yang diterima oleh mahasiswa USIM untuk bersama dalam bantuan pasca banjir ini amat baik.

“Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bertanggjawab dalam menyelaras penglibatan pelajar, kita hanya memerlukan sekitar 30 orang sukarelawan sahaja bagi misi ini tetapi permohonan yang diterima mencecah 70 orang. Ini menunjukkan siswa kita begitu prihatin dan bersedia untuk membantu masyarakat yang memerlukan dan terjejas dengan bencana banjir ini. Di pihak MPP sendiri, seramai 10 orang turut bersama ke Kemaman”.


“Mahasiswa sentiasa bersedia untuk menyantuni masyarakat dalam pelbagai cara dan kita sebelum ini turut membantu dalam misi pasca banjir akhir tahun lalu yang berlaku di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang” ujar beliau yang juga merupakan Exco Kesukarelawanan dan Kemanusiaan MPP USIM

Pelepasan kumpulan pertama misi ke Terengganu ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dr Adnan Mohamed Yusoff bertempat di Pusat Sukan pada Jumaat pagi.

Dalam ucapan ringkasnya, Profesor Dr Adnan menekankan untuk warga USIM sentiasa menjaga dan menonjolkan akhlak dan teladan yang baik sepanjang menjayakan misi ini. Bagi pelajarnya yang terjejas akibat banjir ini, USIM akan menyalurkan bantuan yang bersesuaian dalam masa terdekat.

(Visited 82 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button