fbpx
Alam SekitarBanjirBencana alamNasionalUncategorized

Banjir di pantai timur: situasi lebih buruk, mangsa meningkat 7,000

KEADAAN banjir di pantai timur, Kelantan dan Terengganu semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hari ini meningkat kepada 7,308 berbanding 6,627 petang semalam.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa meningkat kepada 6,305 orang daripada 1,663 keluarga pagi ini berbanding 5,776 orang (1,478 keluarga) petang semalam. Dengan peningkatan ini ia membawa kepada pembukaan tiga lagi PPS menjadikan jumlah keseluruhan PPS, 49.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu,  Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, daerah Kemaman paling terjejas.

“Jumlah mangsa terkini seramai 5,108 orang (1,238 keluarga) berbanding 4,729 orang (1,135 keluarga) petang semalam.


“Jumlah PPS di Kemaman kekal di 25 lokasi namun peningkatan jumlah mangsa susulan beberapa penempatan penduduk dinaiki air awal pagi tadi akibat air pasang,” katanya.

Di Dungun pula, jumlah mangsa bertambah kepada 381 orang (104 keluarga).

Mereka ditempatkan di 10 PPS berbanding 326 orang (95 keluarga) di tujuh PPS sebelum ini manakala di Hulu Terengganu, jumlah mangsa meningkat kepada 806 orang (318 keluarga) berbanding 710 orang (245 keluarga) petang semalam.

Di Setiu pula, mangsa kekal 11 orang daripada tiga keluarga di satu PPS.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my melaporkan, paras air di tiga sungai di dua daerah masih melepasi paras bahaya setakat pukul 8.00 pagi tadi.

Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman, naik setinggi 18.56 meter (m) (paras bahaya 18.5 m).

Sungai Kemaman mencatat kenaikan setinggi 5.12m (paras bahaya 4.5m) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, setinggi 12.81m (paras bahaya 12.5m).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di empat daerah melonjak kepada 1,003 orang berbanding 851 mangsa semalam dengan Gua Musang menjadi jajahan terbaharu selepas Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) satu lagi PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi, Gua Musang bagi menempatkan 13 mangsa daripada dua keluarga termasuk seorang bayi perempuan dan seorang warga emas perempuan.

Setakat ini, Pasir Mas masih kekal mencatatkan mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 603 orang (197 keluarga) termasuk dua Orang Kurang Upaya (OKU) di 10 PPS, Kuala Krai (226 mangsa daripada 56 keluarga termasuk dua OKU di tujuh PPS) dan Tanah Merah (161 mangsa daripada  42 keluarga di enam PPS).

Sementara itu, mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat pagi ini, tiga sungai di Kelantan mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya.

Sungai Golok di Rantau Panjang 10.43m (bahaya 10 m), Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.15 m (bahaya 25m) dan di Kg Temangan, Machang 17.43m (bahaya 15.9m).

Tiga sungai yang mencatat bacaan melepasi paras amaran ialah Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dengan bacaan 15.93m (amaran 14m), Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah 22.65m (amaran 22.5m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat, 2.38m (amaran 2.15m).

GAMBAR HIASAN… Banjir di Sungai Golok.

Sementara itu, dua sungai di KELANTAN turut mencatat bacaan melebihi paras waspada iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang 57.49m (waspada 56.00m) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam Kota Bharu 3.75m (waspada 3m).

Lebih ramai penduduk dijangka terjejas dan dipindahkan susulan hujan di seluruh Kelantan dengan sesekali lebat pada ketika ini.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd. Wildan Azhari menasihati penduduk agar tidak mengambil risiko dengan berpindah sendiri ke PPS tanpa pengawasan agensi keselamatan.

“Hal ini sebenarnya bahaya. Kita takut sekiranya mangsa tidak mendapat maklumat lanjut berkaitan dari mana berlakunya limpahan air ketika banjir.

“Ini boleh mengakibatkan terjadinya perkara tidak diingini seperti kenderaan tersekat di tengah jalan dan kes hanyut,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa bimbang susulan lebih 80 peratus mangsa bertindak menggunakan bot persendirian dan berjalan kaki mencari tempat yang dirasakan lebih selamat. – SM

(Visited 67 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button