Luar Negara

Covid-19: Peniaga pasar udang di Samut Sakhon positif

Thailand catat lebih 500 kes semalam

SEMALAM negara jiran, Thailand merekodkan lebih 500 kes Covid-19. Ini satu peningkatan harian tertinggi di negara itu sejak penularan wabak tersebut pada Januari lepas.

Turut dilaporkan, semua kes terkini semalam berkait dengan penjual seorang udang berusia 67 tahun di sebuah pasar di Samut Sakhon. Setakat ini, 548 kes dilaporkan daripada kluster ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr. Opas Karnkawinpong berkata, 1,192 orang menjalani saringan Covid-19 di Samut Sakhon dan daripada jumlah tersebut, 516 didapati positif jangkitan virus itu.

Katanya, kebanyakan daripada pesakit baharu adalah pekerja asing dan tidak bergejala.

Beliau juga mengumumkan wilayah Samut Sakhon dikenakan sekatan kawalan pergerakan separa bermula hari ini sehingga 3 Januari tahun depan (2021).

Sehubungan itu, penduduk di Samut Sakhon digesa agar tidak melakukan sebarang perjalanan yang tidak perlu.

Selain itu, katanya lagi, sekolah dan universiti di wilayah itu ditutup sementara sehingga keadaan dirasakan pulih.

“Mereka yang pergi ke pasar udang sejak 1 Disember lalu juga perlu menjalani kuarantin kendiri,” kata Dr. Opas.

Sejak pandemik Covid-19 menular pada Januari tahun ini, kenaikan harian tertinggi yang dicatatkan di Thailand setakat ini adalah 188 kes pada 22 Mac.

Terdahulu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissnuyothin berkata, seorang wanita berusia 67 tahun yang menjual udang di pasar berkenaan dan tidak pernah ke luar negara, disahkan positif pada 16 Disember lalu.

Susulan pengesanan kontak, ibu wanita itu berusia 95 tahun, kakak wanita itu yang berusia 73 tahun, adik ipar yang berumur 57 tahun serta lima pekerja tempatan dan asing, diuji positif, kata Dr. Opas.

Setakat ini, Thailand mencatat lebih daripada 4,800 kes dengan 60 kematian akibat virus itu. – SM

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button