Nasional

Suhakam bantah hukuman berat kepada LGBT

GOLONGAN lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) didakwa bakal berhadapan hukuman lebih berat sekiranya Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) dipinda.

Akta 355 bagi Bidang Kuasa Jenayah sebelum ini senyap seketika apabila tiada tindakan susulan selepas kali pertama dibentang di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, isu berkaitan akta itu kembali timbul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri memaklum akan memberi laluan kepada pindaannya.

Namun, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia menyatakan bantahan kepada pindaan akta tersebut kerana mendakwa hukumannya bersikap zalim dan bertentangan dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Ketika ini, Akta 355 memperuntukkan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan bagi kesalahan di bawah hukum syarak.

“Berhubung dengan cadangan hukuman lebih berat di bawah Akta 355, Suhakam menekankan bahawa segala bentuk penyeksaan dan layanan atau hukuman lain yang zalim, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah termasuk sebatan adalah dilarang sama sekali di bawah piawaian hak asasi manusia antarabangsa terutamanya Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

“Selama ini, SUHAKAM menyeru kepada pemansuhan hukuman sebatan dalam semua undang-undang Sivil dan Syariah agar selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

“Pengenaan hukuman sebatan terhadap pesalah wanita di bawah Enakmen Syariah Negeri adalah bertentangan dengan peruntukan kesamarataan dalam (Perkara 8) Perlembagaan Persekutuan memandangkan Kanun Prosedur Jenayah persekutuan mengecualikan pesalah wanita daripada hukuman sebatan bagi kesalahan di bawah undang-undang persekutuan.”

Demikian kenyataan Suhakam hari ini mengulas implikasi pindaan Akta 355 yang melihat hukuman dikenakan kepada golongan LGBT.

Budaya LGBT diketahui umum sebagai bertentangan dengan agama Islam serta norma ketimuran yang diamalkan di negara ini.

Malah, beberapa individu yang terlibat dalam isu LGBT termasuk ahli politik yang memihak kepada mereka sering menjadi kecaman masyarakat.

Walau bagaimanapun, Suhakam menegaskan, setiap individu di negara ini tanpa mengira oritentasi seks atau status gender wajar mendapat hak asasi yang sama.

Ini kerana menurut badan itu, perlindungan kepada semua orang adalah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Termasuk hak privasi dan hak kepada kehidupan yang
bermaruah.

“Suhakam mengambil maklum bahawa Kerajaan telah memberi maklum balas di Parlimen pada November 2020 bahawa cadangan pindaan ke atas Akta 355 akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama negeri-negeri lain pada awal tahun 2021.

“Sehubungan itu, Suhakam menyeru Kerajaan untuk mempertimbangkan semula cadangan pindaan Akta 355 dan memastikan agar ia selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

Walau bagaiamanapun, pindaan akta berkaitan agama Islam itu mungkin tidak akan dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat berikutan penguatkuasaan Proklamasi Darurat.

Penguatkuasaan ordinan itu menggantung persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga tempoh darurat tamat pada 1 Ogos. – SM

(Visited 1,128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button