BeritaSukan

Spider-Women Bangkit Selepas Patah Kaki

Wan Atirah Hidayah juara dalam Kejohanan Sukan Mendaki Kebangsaan 2019

Walaupun pernah terjatuh ketika memanjat dinding hingga mengalami patah kaki, namun ia tidak melunturkan semangat Wan Atirah Hidayah Ahmad Fauzi, untuk terus gigih berusaha hingga menempa kejayaan dalam sukan lasak berkenaan.

Buktinya, pelajar Fakulti Pengurusan (FOM) Universiti Multimedia (MMU) itu telah muncul juara dalam Kejohanan Sukan Mendaki Kebangsaan 2019 baru-baru ini bagi kategori Speed (Wanita), Terbuka Nasional dan juga Tempat Kedua dalam kategori Speed (wanita), Inter-State dan Tempat Ketiga dalam kategori Boulder (wanita), Terbuka Nasional.


Wan Atirah Hidayah, 23, yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, beliau tidak menjangka meraih kemenangan kerana saingan daripada peserta yang merupakan atlet-atlet kebangsaan adalah sangat sengit. “Saya pernah bertanding dengan mereka sebelum ini dan ini merupakan kali pertama saya berjaya mengalahkan mereka,” katanya.

Beliau adalah salah seorang daripada empat pelajar MMU yang mewakili negeri masing-masing dan berjaya merangkul kejuaraan dan kemenangan dalam Kejohanan Sukan Mendaki Kebangsaan 2019 anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu diadakan di Pusat Membeli Belah Velocity, Cheras, baru-baru ini. Kejohanan tersebut disertai oleh 150 atlet yang mewakili negeri, persatuan dan kelab sukan dari seluruh negara.



Menurut Wan Atirah Hidayah, kunci kejayaan semasa pertandingan tersebut ialah beliau berjaya mengatasi perasaan takut jatuh atau ‘my fear of falling’ untuk lebih tangkas menamatkan perlawanan.

Katanya, perasaan berkenaan jika tidak diatasi akan menjejaskan tumpuan dan ia juga telah mengakibatkan dia terjatuh dan patah kaki semasa beraksi pada dua tahun lepas.

Kemalangan itu menjadi pembakar semangat kepadanya, dan apabila telah pulih, beliau berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori Novis dalam pertandingan antarabangsa pada awal tahun ini di Singapura, iaitu SMU Gravical 2019.



Mengenai penglibatan wanita dalam sukan memanjat, Wan Atirah Hidayah mengakui sukan lasak itu masih baharu dalam kalangan wanita di Malaysia dan sebab itu wanita agak kurang menceburinya.

“Saya meminati sukan ini antaranya setelah melihat pelajar senior MMU yang merupakan pemanjat wanita telah memberi inspirasi saya untuk menceburinya sejak mula memasuki MMU pada tahun 2016.”

“Selain itu keluarga saya juga sentiasa memberi pendedahakn kepada saya terhadap sukan lasak seperti ini,” katanya.

Sementara itu, pelajar MMU lain, Ku Muhammad Faridhwan Ku Aziz, dari Fakulti Komputer dan Informatik (FCI), yang mewakili Wilayah Persekutuan, diumumkan sebagai Juara dalam Boulder (lelaki), Inter-State and Tempat Kedua dalam Boulder (men) Terbuka Nasional dalam kejohanan berkenaan.

Selain itu, Fatin Afifah Azman, pelajar FOM yang mewakili Selangor memenangi tempat kelima dalam Speed (wanita), kategori Inter-State dan Azmi Zahari, dari Fakulti Kejuruteraan (FOE) yang mewakili Melaka, meraih tempat kelapan dalam Boulder (men), kategori Inter-State.

Selain daripada mereka, seramai empat lagi pelajar MMU turut menyertai kejohanan berkenaan. Mereka ialah Thenuel Teli (FOE) yang mewakili Sarawak; Mohd. Syafiq Alipah (FCI, Melaka), Muhammad Arham Zairol Akmar (FCI, Kuala Lumpur) and Iffa Dania Ibrahim (FOM, Kuala Lumpur).



Presiden MMU, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq, yang melahirkan kegembiraan dengan kejayaan itu berkata, ia adalah refleksi kepada keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan sukan oleh para pelajar MMU.

“Sejak MMU ditubuhkan, pelajar-pelajar kami telah meraih pelbagai anugerah dan kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, maka ini adalah satu lagi kejayaan yang membanggakan,” jelasnya.


OLEH MUHAMMAD NAUFAL

(Visited 158 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button