Bola SepakSukan

Edinson Cavani sambung setahun lagi kontrak bersama United

EDINSON CAVANI menamatkan spekulasi tentang masa depannya dengan menandatangani kontrak baharu selama 12 bulan untuk kekal bersama Manchester United.

Red Devils menandatangani bintang Uruguay itu sewaktu dia berstatus bebas ejen selepas Paris Saint-Germain melepaskannya dan pemain berusia 34 tahun itu pada awalnya bersetuju mengikat perjanjian selama setahun, dengan pilihan untuk menyambung semusim lagi.

Selepas mengharungi pra-musim bermasalah pada musim panas lalu apabila dia tidak bermain bola sepak selama beberapa bulan, pemain hadapan itu kini menjadi salah seorang tonggak penting Ole Gunnar Solskjaer.

Sejak kebelakangan ini, Cavani berada pada prestasi terbaik selepas dia meledakkan lapan gol dalam tujuh perlawanan terakhirnya.

Jaringan tersebut termasuk empat gol yang diciptanya bersama United sewaktu melakar kemenangan dalam separuh akhir Liga Europa ke atas AS Roma, dan sekali gus membantu pasukan melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak United berada di bawah teraju Solskjaer.

Warga Norway itu tidak menyembunyikan harapannya untuk menyaksikan Cavani kekal di Old Trafford, meskipun terdapat cadangan pemain itu berhasrat pulang ke Amerika Selatan untuk berada dekat bersama keluarganya.

Bapa Edinson, Luis sebelum ini pernah mendakwa anaknya berpeluang cerah untuk meninggalkan bola sepak di England, dengan Boca Juniors dikhabarkan menjadi destinasi pilihannya.

“Peluang Edinson pulang ke Amerika Selatan adalah 60 peratus. Kami sangat teruja.

“Dia tidak berasa selesa di mana dia berada sekarang ini. Dia sedang memikirkan tentang hasrat untuk berada dekat dengan keluarganya sejak lebih dua tahun lalu dan ia merupakan sebab mengapa Edi akan bermain di Amerika Selatan akhirnya,” kata Luis pada Mac lalu.

Bagaimanapun, Cavani kelihatannya semakin selesa sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan bersedia menyambung kariernya di Liga Perdana Inggeris sekurang-kurangnya sehingga penghujung musim 2021/22.

Solskjaer sebelum ini pernah menggesa penyerangnya meneruskan aksi cemerlang selagi fizikalnya mampu berbuat demikian.

“Kadang kala saya melihat ke arahnya dan berfikir wow, pada usia itu saya terpaksa bersara kerana lutut saya. Saya berharap dapat terus bermain seperti mana yang dia lakukan.

“Jadi, apa yang saya katakan padanya, bermainlah pada tahap tertinggi selagi anda boleh melakukannya. Bermain dan nikmatilah keseronokannya kerana ia boleh diragut secara tiba-tiba dan harap kami dapat melihatnya lagi pada tahun depan,” kata Solskjaer, minggu lepas.

Bos United itu turut mengulas impak yang mampu Cavani berikan terhadap pemain muda kelab itu, yang mana permain tersebut kini bersedia meneruskan usaha berkenaan melangkaui penghujung musim ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman web rasmi kelab, Cavani berkata: “Sepanjang musim ini, saya mula berasa sayang kepada kelab ini dan segala yang diwakilinya.

“Saya berasakan hubungan yang erat dengan rakan sepasukan dan kakitangan yang bekerja di belakang tabir di sini. Mereka memberi saya motivasi tambahan pada setiap hari dan saya tahu bersama-sama, kita akan dapat mencapai sesuatu yang istimewa.” – Mirror – SM

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button