Berita

JPT serah kelulusan naik taraf KUIPs kepada UniSIRAJ

Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah menerima surat Kelulusan Naik Taraf kepada Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) pada petang semalam.

Surat kelulusan berkenaan telah dipersembahkan ke hadapan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor KUIPs oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar di Galeri DiRaja Arau.

Majlis Penyerahan Kelulusan ini turut dihadiri Pengarah Bahagian Standard Swasta JPT, Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood dan Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs, Datuk Profesor Emeritus Ts. Dr. Kamarudin Hussin.

Hadir sama, Rektor KUIPs, Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.

Rozaimi ketika ditemui melahirkan rasa syukur di atas kejayaan ini dan berazam untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dirintis oleh kepimpinan terdahulu dalam merealisasikan UniSIRAJ.

“Dengan perancangan yang teliti melalui Pelan Strategik yang telah ditetapkan, dengan dipandu oleh Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs, UniSIRAJ yang dimiliki KUIPs Sdn Bhd, sebuah subsidiari MAIPs, akan menyuburkan budaya ilmu dan ketamadunan Islam sekaligus memberikan impak kepada ummah sejahtera,” jelas Rozaimi.

Dalam hubungan itu, Kamarudin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran MAIPs, turut berharap agar UniSIRAJ akan menjadi sebuah gedung ilmu yang dibanggakan selari dengan hasrat penubuhannya oleh MAIPs.

KUIPs telah mula ditubuhkan pada 17 Jun 2013 dengan pengambilan pertamanya pada 15 Mei 2014 dengan jumlah pelajar seramai 61 orang terdiri daripada dua program pengajian iaitu Asasi Muamalah dan Diploma Perbankan Islam. Sehingga April 2022, terdapat lebih 20 program pengajian yang ditawarkan di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan JPT.

Pengambilan dan kemasukan pelajar baharu KUIPs dibuka dua (2) kali setahun iaitu bagi Ambilan Februari dan juga September bagi kesemua fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Muamalat & Kewangan Islam, Fakulti Perniagaan & Sains Pengurusan serta Fakulti Al-Quran & Sunnah. Bagi yang berminat untuk melanjutkan pelajaran di KUIPs, permohonan bolehlah dibuat secara atas talian melalui www.syskuips.edu.my atau layari www.kuips.edu.my untuk maklumat lanjut.

(Visited 990 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button