fbpx
Rencah Hidup

Sorry KPM, I’m done! PdPR yang caca marba

DUA hari lepas ialah kemuncak kesabaran saya terhadap sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak Covid-19 menjelma di tahun 2020. Saya sudah tidak mampu cope (mengatasi) dan perah tenaga saya lagi.

Kelas online katanya, tapi jadi kelas tempek link youtube, tempek kerja rumah atau homework online di grup WhatApps.

Saya cuba ikut dan fahami dari tahun lepas. Ok, mungkin perlukan masa untuk beradaptasi dengan sistem sebegini. Tetapi bila tahun ini pun dok buat benda sama, saya give up (mengalah).

Satu hari, tiga subjek. Anak saya tiga org, tingkatan dua, darjah tiga dan darjah empat. Kelas KAFA, lagi tiga subjek.  Ha! Kira tengok berapa subjek nak hempuk atas kepala saya untuk mengajar anak-anak.

Saya sudah sehabis baik sediakan kelengkapan belajar online di rumah. Laptop (komputer riba), PC seorang satu, buku-buku latihan segala-gala.


Setiap hari dari tahun lepas, saya komited untuk anak-anak saya, saya tolak hampir semua tawaran kerja training (latihan) semata-mata nak luangkan masa untuk pelajaran anak-anak.

Bermula pukul 8 pagi, grup WhatsApp sekolah akan dapat link Youtube, gambar-gambar dan kerja rumah. Lepas habis satu kelas, satu kelas.
Lepas itu, perkara paling menjengkelkan ialah berdedai-dedai senarai kehadiran dalam grup WhatsApp dan juga hasil kerja sekolah suruh cikgu semak.

Kadang-kadang grup WhatsApp sekolah jadi medan pertandingan, anak siapa siap dulu, anak siapa paling rajin, anak siapa buat elok, mak-mak siapa baguih, boleh dok kelebet anak 24 jam.

Semalam, ada seorang cikgu sekolah anak saya yang buat kelas mengajar depan-depan melalui aplikasi Gmeet. Cikgu Zaiton namanya. Saya rasa betul-betul ringan sebelah bahu selepas cikgu mengajar secara komunikasi dua hala begitu.

Ada lagi sorang cikgu Matematik tahun lepas. Cikgu Saari namanya, buat inisiatif rakam sendiri dirinya mengajar di whiteboard. Walaupun pelajar tidak dapat beri maklumbalas serta merta tetapi pelajar boleh rasa kehadiran cikgu. Dua orang cikgu ini saya puji dan sangat-sangat hargai. Terima kasih cikgu!

Petang pulak, kelas KAFA. Mujur juga saya baru jumpa kelas KAFA swasta di dalam taman perumahan ini. Dari tahun lepas merayu mencari kelas KAFA, nan hado! Tidak terima untuk pelajar baharu sampailah ke tahun ni.

Tak tahu mana lagi nak hantar anak belajar agama. Tidak mengapa, bayar pun takpa demi anak-anak. Alhamdulillah kelas KAFA ini ustazah ada buat Google meet, nampaklah macam kelas online. Ada interaksi guru-pelajar. Anak-anak saya pun nampaknya kembali bersemangat.

Ok, masuk bab saya pulak, dari pagi siapkan sarapan, set up class untuk anak-anak. Saya sendiri pun ada kelas online, sambil ajar anak, sambil usung laptop masuk dapur, sediakan makan tengah hari sambil saya jawab exam, sediakan modul, rakaman dan segalanya. Alhamdulillah, saya sabar dan sabar lagi lalui hari-hari mendatang.

Sampailah ke tarikh dua hari lepas, saya burn out. Saya terlampau letih, saya sudah tak sanggup. Saya buka shower dan menangis semahu-mahunya dalam bilik air sebab tak nak anak-anak nampak. Lepas tu baru saya boleh cool down balik. Otak saya baru boleh berfikir secara rasional.

Saya buat keputusan, saya sudah tidak berminat ikut sistem pendidikan macam ini. Ini anak-anak saya dan saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas mereka, bukan cikgu-cikgu hatta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekalipun. Kalau anak-ANAK saya melingkup pun, takkan ada siapa yang peduli.

Jadi saya duduk di meja tulis dan rangka strategi baHAru. Saya cetak semua silibus sekolah anak-anak saya. Saya buat jadual kami sendiri. Setiap hari satu jam untuk kami berempat duduk dan go through setiap satu tajuk bagi satu subjek.

Kerja rumah yang dikirim oleh pihak sekolah jatuh tempat kedua. Ada masa baru buat. Subjek pendidikan seni, muzik, jasmani dan lain-lain, saya tolak tepi sebab saya tau anak-anak saya sudah cukup aktif dan kreatif.

Ada satu lagi masalah berkenaan subjek Sains. Zaman sekarang subjek Sains lebih kepada menghafal jargon-jargon dari pemahaman sains itu sendiri.

Saya adalah peminat dan SPM A1 scorer matapelajaran Sains. Saya fikir, jika masa saya sekolah dulu saya dipaksa hafal inferens, malar tak malar dan entah apa-apa lagi, kemungkinan besar saya akan benci  subjek Sains. Subjek Sains sepatutnya seronok, bukan tertekan.

Masa dua jam saya menangis tu, perasaan saya bercampur baur. Ada yang saya menangis sebab kasihankan diri saya, ibubapa lain dan guru-guru sekolah. Saya ini boleh dikatakan celik juga IT, pun rasa sangat-sangat terbeban.

Saya mampu sediakan PC, printer untuk anak-anak. Bayangkanlah ibu bapa yang kurang faham bab teknologi. Yang kurang mampu, yang diberhentikan kerja, yang anak tujuh ke lapan orang.

Cikgu-cikgu tersepit nak buat Google Meet. Tidak semua pelajar dapat masuk Google Meet. Ada yang tidak pandai nak handle Google Meet (Gmeet).

Ada yang line internet sangat bermasalah. Itu belum lagi masuk ke masalah depresi atau kemurungan ibubapa dan guru. Setiap kali kunjungan saya ke pakar psikiatri, jururawat selalu tanya, “Puan ni cikgu ke?”

Saya tanya, “ramai ke cikgu-cikgu masuk sini?” “Raaaaaaamaiii,” jawabnya. Itu kalau yang tahu memang hidap depresi dan pegi mendapatkan rawatan. Yang tidak tahu dan tak boleh kawal, macam mana tu? Silap-silap dicekiknya anak-anak.

Kawan-kawan saya sangat ramai yang berkerjaya guru dan pensyarah. Selalu mengadu, mereka memang betul-betul tersepit, nak buat kelas online susah. Pihak atasan juga menekan minta data itu ini, ibubapa murid ramai yang bekerja dan sukar bagi kerjasama.

Kalau adapun waktu malam saja. Akhirnya, kembali asal atau back to square one: tempek link, tempek homework di grup WhatsApp sajalah jalannya. Kami ibu bapa sudah lelah. Duit ringgit tak payah cakaplah. Komputer riba, printer segala-galanya terpaksa beli.

Guru-guru sudah lelah, semangat mengajar kian hilang. Entahlah. Saya betul-betul penat dan fed up. Jadi, saya buat keputusan, nak mengamalkan konsep mampoih pi.

Kalau anak saya larat buat kerja sekolah, buatlah. Kehadiran dalam grup WhatsApp class pun saya sudah menyampah nak isi.

Kalau ada mood, saya isi kehadiran. Kalau tidak, lantakkan. Sekarang kami fokus kepada strategi dan jadual baharu kami. Yang penting pemahaman anak-anak, bukan kehadiran. Sejam ke dua sehari fokus setiap topik lebih baik daripada hari-hari dok buat keja sekolah tetapi haram tak paham apa.

Sekian dulu, demikianlah berakhirnya kuota berletiaq saya pada hari ini. Saya perlu jaga kesihatan mental dan fizikal saya. Kalau saya sakit, kena masuk wad gila, siapa nak jaga anak-anak saya?  Sekarang, saya letih sangat-sangat. Nak makan ubat dan tidoq. Hari ini saya bagi cuti kat anak-anak saya. Yahooo! Sorry KPM, I’m done! – SM

 

(Visited 232 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button