Rencah Hidup

Agong ucap tahniah kepada Cikgu Samuel

USAHA dan sumbangan Cikgu Samuel Isaiah dalam memastikan pembelajaran Bahasa Inggeris yang berkesan khususnya terhadap pelajar pedalaman mendapat pengiktirafan.

Samuel yang mengajar muridnya terdiri daripada masyarakat Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Runchang di Muadzam Shah, Pahang menggunakan kaedah pertukaran e-mel.

Siapa tahu, kaedah yang memanfaatkan teknologi dalam kalangan komuniti minoriti itu menjadikan beliau antara 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.

Justeru, hal tersebut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Samuel.

Baginda bertitah, usaha yang dipamerkan Samuel itu wajar menjadi inspirasi dan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga pendidik.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas dedikasi serta usahausaha murni guru muda dari Kuantan, Pahang ini dalam mendidik murid-murid.

“Sehingga terpilih sebagai calon untuk menerima anugerah tersebut, yang sekali gus juga mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda turut mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan mendoakan semoga beliau memenangi anugerah tersebut serta dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dalam bidang pendidikan.”

Demikian titah Al Sultan Abdullah seperti dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Samuel antara terpilih selepas menerima saingan daripada 12,000 pencalonan daripada lebih 140 buah negara dalam pertandingan anjuran Yayasan Varkey, di London itu.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sekiranya terpilih, Samuel bakal memenangi hadiah 1 juta Dolar Amerika Syarikat (AS) atau RM4.16 juta.

Samuel di sekolahnya menggunakan keadah yang dinamakan sebagai ‘Asli E-Pal’, iaitu sebuah cara pembelajaran dengan menggalakkan murid berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dalam dan luar negara.

Manakala, program ‘Speak Up With Poetry‘ (Bersuara dengan Puisi) yang diperkenalkan oleh Samuel pula ialah projek kerjasama beliau dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan Orang Asli.

Kemudian, murid-muridnya boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.

Sejak pengenalan pelbagai program oleh beliau, purata kadar lulusan mata murid bahasa Inggeris di sekolah berkenaan meningkat dari 30 peratus pada 2012 kepada 80 hingga 85 peratus pada tahun 2015-2018.

Tahun lalu, Samuel telah dinobatkan penerima anugerah Guru Adiwira 2019. – SM

(Visited 389 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button