Jenayah

Shukri nafi terlibat arahan batal pembekuan akaun ahli perniagaan

DATUK Seri Mohd. Shukri Abdull menafikan beliau terlibat dalam arahan pembatalan pembekuan akaun milik ahli perniagaan Tan Sri Lim Soon Ping.

Bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) itu menegaskan, beliau sentiasa menjaga integriti diri dan tidak patuh kepada mana-mana arahan menteri atau perdana menteri.

“Dalam mana-mana siasatan saya tak akan patuh dengan mana-mana arahan termasuk menteri atau PM.

“Begitu juga dalam kes ini, saya tak pernah keluarkan arahan pada pegawai-pegawai saya supaya melepaskan pembekuan akaun berkaitan,” kata Skuri dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Beliau mengulas pendedahan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat semalam.

Takiyuddin membacakan beberapa pucuk surat diminitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membatalkan pembekuan akaun milik Soon Ping pada 2018.

Ahli perniagaan itu didakwa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM4 juta.

“Andainya betul, akaun berkenaan dibatalkan pembekuannya, ianya bukan arahan saya. Dalam siasatan saya hanya akur dengan arahan Timbalan Pendakwa Raya sahaja, bukannya arahan dari pihak-pihak yang tidak berkaitan,” tegas Syukri.

Media melaporkan, Soon Ping didakwa meminta peguamnya menulis surat representasi bertarikh 10 Oktober 2018 kepada Mohd. Shukri untuk melepaskan pembekuan semua akaun peribadi dan syarikatnya secepat mungkin.

“Apa yang berlaku Yang Berhormat surat kepada SPRM ini telah diminta untuk diminitkan oleh siapa?…. Oleh, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketujuh (Dr Mahathir) pada masa itu. Perdana Menteri ketujuh menyatakan dalam surat representasi… Yang Berhormat saya percaya dalam surat representasi Ahli Parlimen Sepang kepada pelanggannya tiada orang minit begini.

“Minit berkenaan berbunyi saya berpendapat penyelewengan oleh bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tidak boleh disalahkan kepada Tan Sri Lim… inilah minit… Oleh itu segala pembekuan akaun peribadi dan syarikatnya tidak boleh dikekalkan…sign 5 Disember 2018… Perdana Menteri Malaysia ‘cop’.

“Apa yang berlaku kepada surat ini… surat peguam kepada Tan Sri Lim Soon Ping kepada dialamatkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, yang diminitkan oleh Perdana Menteri dan diminitkan sekali oleh Menteri Kewangan pada masa itu Yang Berhormat Bagan, Lim Guan Eng.

“Minit berkenaan berbunyi Yang Berhormat AG; “Please lift the freeze of account as requested by YAB Perdana Menteri bertarikh 19 Februari 2019. Ini adalah minit dibuat ke atas surat seorang peguam Tan Sri Lim Soon Ping, seorang dituduh melakukan kesalahan ini,” dedah Takiyuddin ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat, semalam.

Tambah Takiyuddin, Peguam Negara telah membalas surat berkenaan dengan menulis surat kepada Guan Eng walaupun bukan tanggungjawabnya untuk berbuat demikian.

Katanya, Peguam Negara kemudian menulis surat kepada SPRM bagi meminta pembatalan segala pembekuan akaun milik Soon Ping dan syarikatnya secepat mungkin.

“Ini adalah arahan Peguam Negara kepada SPRM supaya menarik balik pembekuan milik Tan Sri Lim Soon Ping yang mengambil duit 1MDB sebanyak RM4 juta,” tegas Takiyuddin mengatakan ‘dokumen bersuara lebih lantang daripada kata-kata’ bagi membalas hujah dikemukakan oleh Ahli Parlimen PH Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, bahawa ia hanya sekeping kertas.-SM

(Visited 111 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button