JenayahNasional

Penyeludup guna bot penumpang mewah seludup ketum bernilai lebih RM500,000

TAKTIK penyeludup menggunakan bot penumpang mewah bagi memuatkan daun ketum dalam jumlah lebih besar sehingga seberat 3.2 tan berjaya ditumpaskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis, Perlis.

Sebahagian daun ketum dalam 300 bungkusan plastik berwarna hitam dan 13 bungkusan plastik berwarna putih yang dirampas di pantai Kurung Tengar, pagi semalam.

Pengarahnya, Komander Mohd Hashim Mat Zain berkata, kegiatan itu dikesan pada kedudukan 5.8 batu nautika barat Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis pada pukul 6.50 pagi semalam.

Beliau berkata, dalam rampasan itu dipercayai daun ketum diisi dalam 300 bungkusan plastik berwarna hitam dan 13 bungkusan plastik berwarna putih bernilai RM576,000.

“Hasil maklumat risikan dan intipan berterusan oleh pasukan khas selama dua bulan akhirnya membuahkan kejayaan,” katanya pada sidang media di pejabat Zon Maritim Kuala Perlis, hari ini.

Mohd Hashim berkata, pihaknya juga mendapati kali ini penyeludup mengubah masa melakukan aktiviti haram itu yang lazimnya dilakukan pada awal pagi tetapi kali ini, ketika umat Islam sedang menunaikan solat Subuh.


Selain itu katanya, penyeludup juga tidak menggunakan bot fiber dengan enjin bergalah seperti kebiasaannya tetapi menggunakan bot mewah.

Berikutan itu, katanya lagi, dua lelaki warga tempatan berusia 37 dan 48 telah ditahan.

Beliau berkata, suspek serta barang rampasan termasuk bot dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis.

Mohd Hashim Mat Zain menunjukkan bot suspek yang bocor pada kejadian rampasan ketum pagi semalam.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam operasi itu berlaku adegan kejar di mana suspek telah bertindak mengemudi bot secara berbahaya, katanya.

“Disebabkan gagal meloloskan diri, suspek merempuh bot penguatkuasa sehingga bocor,” katanya.

Beliau menambah, bot fiber yang digunakan suspek bernilai RM200,000 manakala tiga enjin sangkut pula RM180,000. – SM

(Visited 200 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button