Rencah Hidup

Seorang demi seorang ilmuan, pendakwah fahami denyut nadi ummah hilang

UMAT Islam kehilangan seorang demi seorang ilmuan dan pendakwah yang benar-benar memahami denyut nadi ummah dengan pemergian Allahyarham Datuk Ismail Kamus awal pagi tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, Allahyarham Ismail merupakan permata ummah.

“Mengenangkan sosok tubuhnya sentiasa mengingatkan saya kepada nostalgia ceramahnya di era 80an dan 90an yang berjaya menarik pelbagai lapisan masyarakat baik di kaca televisyen mahupun koleksi kasetnya yang terjual entah tidak terkira bilangannya.

“Kehadirannya sentiasa dinantikan umat Islam di Malaysia setiapkali Forum Perdana Ehwal Hal Ehwal Islam di TV1,” kata Zulkifli.

Menurutnya, celoteh Allahyarham Ismail yang bersahaja, disulami nasihat-nasihat yang amat berguna, sentiasa menjadi ingatan kepada generasi yang sempat berada pada era tersebut.

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Zulkifli berkata, kali terakhir beliau makan bersama almarhum adalah pada 17 Disember tahun lalu.

“Walaupun kelihatan uzur, namun almarhum tetap bersemangat menggagahkan diri untuk bersama-sama saya pada malam tersebut.

“Kita kehilangan seorang demi seorang ilmuan dan pendakwah yang benar-benar memahami denyut nadi ummah. Moga Allah SWT memberi ketabahan kepada keluarga almarhum,” kata Zulkifli.

Pendakwah terkenal itu meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi di kediamannya di Ampang.

Jenaza Allahyarham dijangka akan dikafan dan disolatkan di Masjid AsSobirin AU5 Keramat pada pukul 9.00 pagi. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sobirin AU4.

Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Pendakwah itu kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama dan didapati terdapat jangkitan di bahagian paru-paru.

Pada 9 Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening , Ulu Selangor.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.

Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Allahyarham pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.

Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Allahyarham juga adalah seorang perunding motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia Barat.-SM

(Visited 412 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button