BeritaPendidikan

Sekolah di Perlis diingatkan pastikan persekitaran selamat untuk pengoperasian pendidikan PPN

Pihak sekolah di Perlis hendaklah membuat persiapan awal bagi memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat dan para guru bersedia sepenuhnya untuk pengoperasian institusi pendidikan Fasa Empat Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menekankan persiapan yang menyeluruh mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah penting dalam usaha untuk terus mengekang penularan virus Covid-19 di kalangan kakitangan dan pelajar sebaik sahaja sesi persekolahan secara bersemuka dimulakan secara sepenuhnya.

Tambah baginda, antara faktor utama yang perlu dititikberatkan ialah kondisi ruang di kawasan sekolah yang sentiasa disanitasi dan mempunyai pengudaraan secukupnya, pematuhan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial, saringan suhu, laluan pergerakan murid dan peraturan semasa waktu rehat.

“Hanya tinggal kurang dari 2 minggu sebelum pengoperasian Fasa Empat PPN bermula di Perlis yang melibatkan kehadiran murid Tahun 1 hingga tahun 6, kelas peralihan dan tingkatan 1 hingga tiingkatan 4.

“Sehubungan itu, pihak sekolah disarankan memulakan persediaan rapi segera bagi memastikan pembukaan sekolah secara bersemuka sepenuhnya ini berjalan lancar dan warga sekolah, murid-murid serta ibu bapa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.


Ibubapa juga diharapkan untuk memberikan kerjasama kepada pihak sekolah untuk memastikan kehadiran penuh pelajar dan pada masa yang sama tidak menghantar pelajar yang bergejala ke sekolah.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat meninjau projek pembangunan jeti yang sedang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran di Pengkalan Tok Kuning, Kayang dan kerja-kerja berkaitan sempena program MAIPs Peduli baru-baru ini.

Kerja-kerja tersebut melibatkan pengorekan alur masuk dan kemudiannya pembinaan persiaran pejalan kaki dan jeti.

Tambah Tuanku Raja Muda, “Selain persiapan awal dan menyeluruh, penubuhan jawatankuasa untuk menguruskan prosedur pencegahan jangkitan Covid-19 di peringkat sekolah juga dapat membantu para pelajar menjalani sesi pembelajaran secara bersemuka dalam persekitaran yang kondusif dan selamat serta mengembalikan semangat untuk hadir bersemuka dgn rakan dan guru”.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa isnin lalu

Berikutan peralihan fasa tersebut, pengoperasian sekolah di Perlis melibatkan tingkatan 1 hingga tingkatan 4 di peringkat sekolah menengah serta tahun 1 hingga 6 sekolah rendah akan bermula pada 22 November secara penggiliran. Kumpulan A akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada 22 November dan Kumpulan B pada 29 November.

(Visited 58 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button