Berita

Ancaman babi hutan buat penduduk Kelongkong resah, takut

MELAKA 24 Jan. – Ancaman babi hutan yang merosakkan tanaman penduduk di Kampung Kelongkong, Pantai Kundor dekat sini kian menjadi-jadi.

Insiden terbaharu petang semalam apabila sekumpulan antara lapan hingga 10 ekor haiwan itu memasuki kawasan kampung cuba menyondol kanak-kanak termasuk seorang penunggang motosikal mencetuskan rasa resah penduduk.

Bukan setakat merosakkan tanaman seperti pokok pisang, ubi dan nenas, haiwan itu pula semakin berani cuba memasuki salah sebuah rumah di kampung berkenaan.

Ancaman haiwan itu bukan sahaja memasuki kawasan penduduk tetapi juga dilihat memasuki kawasan Balai Polis Tanjong Kling.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjong Kling, Khairulazni Baharuddin berkata, kehadiran babi hutan berkeliaran memasuki kampung dibimbangi boleh mencetuskan insiden yang
tidak diingini berlaku.

Menurutnya, walaupun belum ada kejadian babi itu mencederakan penduduk di situ namun kejadian petang semalam apabila haiwan berkenaan cuba mengejar kanak-kanak dan penunggang motosikal boleh dianggap kejadian yang serius.

“Saya telah memaklumkan insiden itu kepada Perhilitan (Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara) untuk menangkap atau memusnahkan haiwan tersebut.

“Haiwan ini sudah semakin berani mengganggu penduduk ini perkara yang perlu diambil perhatian. Kejadian ini sudah kerap berlaku tetapi kejadian petang semalam saya lihat satu tindakan perlu diambil untuk menghalang haiwan ini,” ujarnya dalam sidang akhbar hari ini.

Yang turut hadir dua anggota daripada Perhilitan yang membuat siasatan dan memantau berhubung kejadian yang berlaku petang semalam.

Seorang penduduk Abu Bakar Japar, 65, berkata, kehadiran sekumpulan babi hutan itu sudah semakin galak memasuki kawasan penduduk kian meresahkan dalam kalangan 200 penduduk di situ.

Menurutnya, sebahagian tanaman pisang, ubi kayu dan nanas telah dirosakkan oleh haiwan tersebut dalam kejadian petang semalam.

“Saya bimbang kehadiran haiwan ini semakin galak berkeliaran di kawasan penempatan penduduk sejak akhir-akhir ini.

“Dulu ada juga lihat satu atau dua ekor tetapi petang semalam terlalu banyak dan berani pula masuk ke kawasan penduduk.

“Saya bimbang soal keselamatan kanak-kanak yang bermain di hadapan rumah takut haiwan ini bertindak dan mengancam keselamatan,” ujarnya.

Justeru, Abu Bakar berharap Perhilitan dapat bertindak segera untuk menangkap haiwan tersebut daripada terus mengganggu penduduk.

Bagi seorang wargaemas, Rahimah Kassim, 76, berkata, dia kerap melihat babi berkeliaran di kawasan rumahnya yang berhampiran dengan hutan.

“Sejak duduk sini memang kerap saya lihat babi keluar dari hutan sebelah rumah. Mula dulu dua ekor tetapi semalam paling banyak antara lapan ekor dan berani masuk kawasan rumah,” ujarnya.

Justeru, dia berharap pihakbertanggungjawab khususnya Perhilitan untuk menangkap haiwan tersebut kerana dibimbangi jika berlaku kejadian yang tidak diingini berlaku.

(Visited 412 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button