Nasional

Bantuan geran khusus dipertimbang bagi memulihkan PMKS terjejas banjir

BANTUAN geran khusus akan dipertimbangkan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh usahawan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir selain bantuan kewangan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakod berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan olehnya hari ini telah membincangkan secara terperinci mengenai impak banjir ke atas Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk peniaga informal.

“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah berkongsi impak akibat banjir.

“Mereka turut mencadangkan beberapa tindakan bagi membolehkan PMKS bangkit semula.

“Mesyuarat turut mendengar keluhan daripada dua orang usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah yang mereka hadapi.

“Secara prinsip, mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan bantuan berbentuk geran khusus bagi meringankan beban yang ditanggung oleh usahawan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir selain bantuan kewangan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ismail Sabri turut berkata Kementerian Kewangan (MOF) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama MEDAC, kementerian dan agensi berkaitan serta Dewan-Dewan Perniagaan bagi memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dibentangkan untuk pertimbangan Kerajaan.

Tambahnya, lawatan susulan ke lokasi yang dikenalpasti akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir PMKS sampai ke kumpulan sasaran.

“Insya-Allah, saya akan mengumumkan inisiatif ini setelah diperhalusi dan dimuktamadkan.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal terjamin,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat banjir, kerajaan telah memperkenalkan pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion yang merangkumi bantuan tunai, pembaikan rumah dan fasiliti awam.-SM

(Visited 335 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button