Nasional

Guru, 53 murid SK Assumption akan disuraikan

SERAMAI 53 orang murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption Serang Perai Utara, Pulau Pinang yang berdepan penutupan pada bulan depan akan disuraikan ke sekolah lain yang berhampiran.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataannya memaklumkan keputusan itu dibuat berikutan bangunan dan tapak sekolah itu milik Syarikat Sri Avenue Sdn Bhd.

“Sekolah Kebangsaan Assumption merupakan sekolah bantuan kerajaan yang beroperasi di bangunan dan tapak sekolah yang dimiliki oleh Syarikat Sri Avenue Sdn. Bhd. sejak tahun 2008.

“Pada 3 November tahun lalu, Syarikat Sri Avenue Sdn. Bhd. telah memaklumkan bahawa syarikat telah menerima tawaran pembelian bangunan dan tapak sekolah daripada pihak ketiga. Sehubungan dengan itu, pihak syarikat memohon supaya KPM mengosongkan bangunan dan tapak sekolah tersebut dengan secepat mungkin,” katanya.

Bagaimanapun, mengambil kira sesi persekolahan yang sedang berlangsung, KPM telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 pada bulan
Mac 2022.


Kenyataan itu yang turut dikongsikan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin di media sosialnya berkata ketetapan KPM diambil berdasarkan justifikasi trend enrolmen murid yang menurun dari setahun ke setahun.

“Pada masa ini, sekolah tersebut beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang.

“Terdapat sekolah berdekatan yang dapat menampung murid dari SK Assumption dalam jarak antara 0.35 km hingga 5.8 km,” katanya.

Dalam pada itu, KPM turut menyatakan akan membantu memudah cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi Kalendar Akademik Sesi 2022/2023. -SM

(Visited 134 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button