fbpx
Mahkamah

Saksi pendakwa tegaskan dia ikhlas sumbang kepada tahfiz Ahmad Zahid

SEORANG saksi pendakwa hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau ikhlas memberi sumbangan kepada sekolah tahfiz yang dimiliki oleh bekas Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli perniagaan, Mubarak Hussain Akhtar Husin berkata, beliau memberi sumbangan berjumlah RM2 juta kepada Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab di Masjid Tanah Melaka itu bagi pembiayaan perbelanjaan sekolah tersebut.

Beliau menjawab demikian ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong mengenai sekeping cek Maybank Islamic yang dibayar kepada Lewis & Co bernombor 017178 berjumlah RM2,000,000.00 bertarikh 25 November 2016

Mubarak Hussain mengesahkan bawah cek itu telah di tunai dan dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co oleh pekerjanya di Maybank Islamic Berhad, Jalan Tun H.S Lee.

Tetuan Lewis & Co merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid yang menguruskan  wang sumbangan untuk kebajikan.


“Saya sahkan tandatangan pada cek ini adalah tandatangan saya sendiri dan tulisan tangan pada bahagian cek ini adalah tulisan pekerja saya.

“Tujuan cek ini diterima oleh Lewis & Co adalah untuk sumbangan ikhlas bagi sekolah Tahfiz Dato Sri Ahmad Zahid Bin Hamidi. Saya hanya memberikan sumbangan ini kepada sekolah tahfiz bagi tujuan menampung kos-kos bulan sekolah tahfiz tersebut.

“Secara keseluruhan wang RM2 juta ini saya perolehi daripada hasil perniagaan saya,” kata Mubarak Hussain dalam akuan bertulis yang diberikan kepada mahkamah.

Mubarak Hussain mengunakan turut cek peribadinya untuk memberikan sumbangan kepada sekolah tersebut kerana ia merupakan sumbangan peribadi.

Mubarak Hussain berkata, beliau mengenai Ahmad Zahid pada tahun 2008 di satu majlis di sebuah masjid di Kampung Baru Kuala Lumpur. Sejak itu beliau menjadi kawan kepada bekas Timbalan perdana Menteri itu.

Mubarak Husaain merupakan pemilik Syarikat Seri Jaya Perkasa Sdn Bhd yang dibelinya pada tahun 2002.

Menurutnya, tujuan asal dia membeli syarikat itu kerana kerana Seri Jaya Perkasa mempunyai kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri(KDN) bernilai RM20.5 juta selama dua tahun.

Kontrak tersebut adalah penghantaran pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan tamat pada tahun 2017. Sejak itu kontrak berkenaan tidak lagi disambung.

Sementara itu peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh berkata, cubaan pihak pendakwaan mengaitkan pemberian itu sebagai rasuah tidak akan berjaya.

“Dalam kenyataan saksi dia kenal Ahmad Zahid pada tahun 2008. Dia beli syarikat tu pada tahun 2002. Tak ada isu di situ. Takkanlah pada tahun 2002 dia dah tahu dia akan beri RM2 juta ini untuk benda lain.

“Malah dalam kenyataan bertulisnya dia mengaku bahawa itu adalah pemberian ikhlas kepada sekolah tahfiz,” kata Hamidi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button