Mahkamah

Zahid hanya laksana arahan Najib anugerah konsesi VLN kepada UKSB

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya melaksanakan arahan Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Perdana Menteri menganugerahkan konsesi Visa Luar Negara (VLN) kepada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Azman Azra Abdul Rahman, bekas timbalan setiausaha bahagian Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang juga saksi kedua perbicaraan kes Ahmad Zahid mengakui demikian apabila disoal balas peguam bela Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Saksi juga ketika menerangkan latar belakang projek itu, berkata konsesi itu diberikan kepada UKSB selama tujuh tahun pada tahun 2011, ketika Ahmad Zahid belum menjadi menteri dalam negeri.

Ahmad Zahid dilantik sebagai menteri dalam negeri pada tahun 2013 bagi menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan kontrak itu sah hingga 2018.

Saksi juga menerangkan komunikasi berkenaan VLN juga tidak dibuat terus oleh menteri dalam negeri.

Hanya satu surat ditunjukkan kepada mahkamah hari ini terdapat minit Ahmad Zahid iaitu secara umum berbunyi “tiada halangan untuk penyelarasan”.

Ahmad Zahid menghadapi pertuduhan menerima suapan untuk mengekalkan dan menyambung kontrak UKSB.

Mengenai penyambungan kontrak UKSB tanpa merujuk Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), saksi juga bersetuju ia tidak perlu dilakukan kerana tempoh lanjutan tidak melebihi tujuh tahun.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Yazid Mustafa.

Azman dalam pada itu menjelaskan cadangan UKSB mengenai sistem VLN itu telah dikemukakan pada tahun 2010.

Cadangan UKSB adalah bertujuan bagi menyelesaikan masalah bebanan oleh pegawai Imigresen untuk meluluskan visa pelancong dan membanteras penyeludupan manusia.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Azman berkata,  kontrak UKSB tidak dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas mengambil alih kerajaan setelah menang pada pilihan raya pada tahun 2018.

Semasa soal balas Ahmad Zaidi turut bertanyakan apakah UKSB bermasalah melaksanakan tanggungjawabnya, Azman berkata, syarikat itu tidak pernah menimbulkan masalah.

“Ini bermakna kontrak diberikan kepada syarikat yang bagus, jadi tidak ada sebab untuk membatalkan kontrak?” soal Zaidi dan dipersetujui saksi.

Perbicaraan bersambung khamis.

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button