fbpx
Politik

Tun M calonkan nama sendiri sebagai PM-9

SETIAUSAH Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tampil menjelaskan kronologi perbincangan PH Plus berhubung isu calon Perdana Menteri ke-9 (PM-9).

Menurutnya, adalah tidak benar jika ada sumber yang menceritakan bahawa Pakatan Harapan telah mengangkat nama selain Presdien PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM-9 dalam siri perbincangan Pakatan Harapan Plus.

Saifuddin Nasution mendakwa, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencadangan sendiri namanya sebagai calon PM-9 dan disokong oleh Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.

“Tiada keputusan konklusif dicapai dalam mesyuarat Pakatan Harapan Plus,” tegas Saifuddin Nasution.

Menurut Saifuddin Nasution, Majlis Pimpinan Pusat PKR akan mengadakan mesyuarat bulanan esok dan pendirian parti akan dimuktamadkan berhubung isu tersebut.


Bagi maksud menjelaskan garis masa dan konteks perbincangan, di sini saya ingin memberi penjelasan seperti berikut: 

30 Mei
Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk membentangkan cadangan Pakatan Harapan mencalonkan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-9 kepada YB Tun Dr Mahathir Mohamad.

1 Jun
YB Hj Mohamad Sabu, YB Anthony Loke dan saya telah menjadi wakil Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam pertemuan bersama YB Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pertemuan itu, Tun Dr Mahathir tidak menolak cadangan DS Anwar sebagai calon Perdana Menteri, dan memaklumkan bahawa beliau perlu berbincang dengan Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang bersama beliau serta YB DS Shafie Apdal. Tiada opsyen lain yang dibentang atau dibincangkan pada waktu itu.

3 Jun
Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bermesyuarat dan memutuskan bahawa DS Anwar perlu bertemu dengan DS Shafie untuk berbincang dan memaklumkan keputusan Pakatan Harapan mencalonkan DS Anwar sebagai Perdana Menteri dan satu mesyuarat pimpinan utama Pakatan Harapan Plus perlu diadakan.

4 Jun
DS Anwar telah mengadakan pertemuan dengan DS Shafie dan memaklumkan keputusan Pakatan Harapan.

9 Jun
Mesyuarat Pakatan Harapan Plus telah diadakan di Ibu Pejabat KEADILAN. Pada mesyuarat ini, semua wakil parti komponen Pakatan Harapan telah mengangkat hujah DS Anwar sebagai calon Perdana Menteri, manakala Tun Dr Mahathir telah memohon agar diberi masa 6 bulan sebagai Perdana Menteri.

Beliau juga berkata DS Anwar tidak boleh diterima sebagai PM kerana beliau memimpin parti berbilang kaum; DS Anwar menjawab dalam senario ini bila berlaku peralihan, selepas tempoh 6 bulan itu DS Anwar masih Presiden sebuah parti berbilang kaum. Mesyuarat memutuskan tempoh seminggu untuk membuat keputusan.

12 Jun
Majlis Presiden PH sekali lagi bermesyuarat dan bersetuju menghantar wakil terdiri YB Khalid Samad, YB Shamsul Iskandar dan YB Anthony Loke untuk berjumpa YB DS Shafie dan YB Tun Dr Mahathir.

13 Jun
Mesyuarat Pakatan Harapan Plus telah diadakan, di mana semua wakil parti komponen Pakatan Harapan mengangkat hujah DS Anwar sebagai calon Perdana Menteri. Kali ini Tun Dr Mahathir memaklumkan bahawa beliau masih mohon dicalonkan sebagai Perdana Menteri, tetapi 6 bulan tidak mencukupi.

Beliau berhujah bahawa sekurang-kurangnya 12 bulan diperlukan untuk membetulkan masalah yang dilakukan bukan sahaja oleh DS Najib, tetapi juga yang kini dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. DS Shafie Apdal pula menyatakan bahawa 12 bulan itu terlalu lama, dan 6 bulan seharusnya mencukupi. Tun Dr Mahathir tidak menetapkan cadangan tempoh masa, dan Pakatan Harapan kekal dengan pendirian DS Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Selesai mesyuarat Pakatan Harapan Plus, perbincangan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan telah diadakan dengan persetujuan keputusan dibuat pada Selasa, 16 Jun. Pada hari berkenaan saya telah memaklumkan kepada YB Hj Mohamad Sabu dan YB Anthony Loke bahawa DS Anwar membuat kunjungan ke Sarawak dan mesyuarat Pakatan Harapan perlu ditangguhkan.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button