NasionalNegeri

Dua nelayan gagal seludup masuk 256 bungkusan benih udang

SEORANG tekong dan awak-awak tempatan ditahan atas cubaan menyeludup masuk 256 bungkusan plastik benih udang dari Thailand.

Perbuatan lelaki yang berusia 31 dan 35 tahun ini berjaya dibongkar selepas penahanan sebuah bot fiber tiada nombor pendaftaran pada pukul lebih kurang 3.20 petang semalam.

Antara 250 bungkusan benih udang yang cuba diseludup masuk. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim, Mohd Hashim Mat Zain, bot fiber tersebut ditahan hasil risikan pada kedudukan lebih kurang 1.1 batu nautika dari barat pesisir pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis.

Beliau berkata, ketika itu bot Maritim Malaysia melakukan rondaan Op Aman dan Op Benteng Laut di sekitar perairan Perlis.

Anak benih udang yang cuba diseludup masuk dari Thailand melalui perairan Perlis. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin sangkut dan benih udang sekitar RM 41,500,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Hashim berkata, bot dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) kerana mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali, atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan tanpa lesen yang sah.

Tambahnya, juga dilakukan siasatan mengikut Seksyen 40 (1) (a) kerana mengimport ke dalam atau mengeksport ke luar Malaysia ikan hidup tanpa permit, atau dengan melanggar apa-apa syarat dalam permit.

Beliau berkata, udang amat penting dalam ekonomi dan ia menjadi penanda aras bagi kepelbagaian biodiversiti dan kelestarian sumber perikanan yang terdapat di perairan kita.

Oleh yang demikian katanya, stok udang harus dijaga secara terurus, sistematik dan mampan agar sumbernya tidak pupus dari perairan negara kita.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 289 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button