Nasional

Rosmah tiba di mahkamah, tiada anak-anak kelihatan

Datin Seri Rosmah Mansor tiba kira-kira enam minit lebih awal daripada perbicaraan yang dijadualkan berhubung keputusan pertuduhan rasuahnya berkaitan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, pagi tadi.

Rosmah, 70, berbaju kurung merah jambu, dilihat berjalan masuk ke mahkamah pada kira-kira 8.54 pagi, kerana perbicaraan dijadual bermula pada 9 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Kompleks mahkamah telah dipenuhi dengan kehadiran media dan polis sejak jam 7 pagi. Bagaimanapun, tiada penyokong dikesan, begitu juga anak-anaknya tidak kelihatan.

Rosmah memfailkan permohonan untuk menarik balik penghakiman Hakim Mohamed Zaini semalam, atas alasan penghakiman yang dikatakan bocor dalam kesnya.

Permohonan akan didengar pagi ini.


Isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menghadapi pertuduhan pertama, meminta RM187.5 juta dan pertuduhan kedua, menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Rosmah, pada 15 Nov 2018, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan rasuah.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa secara tidak jujur meminta untuk dirinya sendiri, melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor, suapan RM187.5 juta, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi.

Ia sebagai dorongan untuk membantu syarikat (Jepak Holdings) mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Suria Fotovoltaik Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa secara tidak jujur menerima RM1.5 juta daripada Saidi untuk tujuan sama di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini pada 7 Sept 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek yang sama pada 20 Dis 2016, di kediaman Seri Perdana di Putrajaya.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

(Visited 90 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button